Pages

Total Pageviews

Tuesday 29 April 2014

FORBIDDEN CITY

10.30 a.m

      Dari Tiananmen Square, kami bergerak menuju ke pintu gerbang Forbidden City atau Kota Larangan. Digelar Kota Larangan kerana pada zaman pemerintahan Dinasty Ming dan Ching, kota ini menjadi kawasan larangan kepada rakyat jelata. Hanya keluarga maharaja dan hamba-hamba yang bekerja di istana sahaja yang tinggal di dalam kota ini. Banyak kisah istana ini yang diceritakan oleh Miss Saly kepada kami. 

      Untuk sampai ke pintu gerbang, sekali lagi kami melalui lintasan bawah tanah. Sampai di kawasan pintu gerbang, kami diberi masa untuk ke tandas. Cerita tentang tandas-tandas di Beijing ni membuatkan hidungku kembang kempis...walau secanggih manapun tandas yang pernah kami masuki, tiada satu pun yang berbau harum seperti tandas-tandas di Malaysia. Tiada pun petugas atau pencuci yang menjaga tandas seperti di Mall atau R&R di tempat kita. Semua tandas di Beijing tidak disediakan paip air di dalamnya. Mereka semua tiadak berhadas seperti kita. Mereka hanya beristinjak menggunakan tissu. Tissu-tissu yang telah digunakan itu dibuang ke dalam tong sampah atau dibiarkan sahaja bertaburan di lantai. Itulah yang menyebabkan tandas berbau 'harum'. Sebagai orang Islam, bersedialah dengan botol mineral atau bekas seumpanya di dalam beg atau poket kalau anda melancong ke China. Sebelum masuk ke tandas penuhkanlah dahulu botol atau bekas air dari sink di luar tandas. Kalau orang lelaki lebih mudah, macam mana caranya.....itu kena tanya mereka. Aku dapat tahu pun daripada hubbyku...tapi tak perlulah aku ceritakan di sini. 

      Sambung pula cerita tentang Kota Larangan. Setelah semuanya selesai menunaikan hajat, kami meneruskan langkah menuju ke pintu masuk ke Kota Larangan. Sebelum itu nak cerita sikit tentang tentang pintu gerbang. Di sebelah kiri pintu masuk mengadap ke Dataran, terdapat tempat duduk bertingkat seperti di stadium. Di situlah menteri-menteri akan duduk semasa majlis menyambut hari kemerdekaan. Di bahagian atas pintu pula terdapat gambar Moi Zi Tong yang menurut Miss Saly berat fram gambar itu ialah 4 tan dibuat daripada tembaga. Gambar itu akan ditukar setiap tahun menjelang hari kemerdekaan pada bulan Oktober. Di bahagian paling atas pula adalah tempat duduk presiden. 
     Menuju ke pintu masuk terdapat beberapa orang askar yang berkawal dengan penuh taat, berdiri tegak tanpa menoleh ke kiri kanan seolah-olah sebuah patung bernyawa. Di kiri kanan dinding berhampiran pintu terdapat tombol-tombol tembaga yang ditutup dengan kaca. Agaknya sebagai langkah keselamatan. Dindingnya semua diperbuat daripada kayu yang begitu kukuh walaupun sudah berusia lebih 500 tahun. 

      Setelah memasuki pintu utama, kami menunggu Saly mengambil tiket untuk masuk ke pintu ke dua Kota Larangan. Di kawasan ini terdapat barisan pohon-pohon yang masih tidak berdaun, hanya batang dan rantinnya sahaja menjadikan pemandangan begitu menarik. Kalau di Malaysia pokok macam ni pokok yang nak mati. Tetapi di sini menandakan peralihan musim sejuk ke musim bunga. 

     Selesai menguruskan tiket, kami mengikut Saly memasuki pintu ke dua Kota Larangan. Staf Kembara Sufi yang mengetuai kami bukan lagi Ustaz Faiz tetapi seorang pemuda yang kami panggil Mi sahaja. Seperti Ustaz Faiz, beliau juga begitu baik dan peramah. Kawasan sekitar dari pintu ke 2 sangat luas. Bangunannya hanya di sebelah kiri dan kanan sahaja. Menurut Saly itu adalah gudang tempat menyimpan barang. Di kawasan lapang menurut Saly lantainya diturap sebanyak 10 lapisan. Manakala di bawahnya (dalam tanah)  adalah tempat persembunyian daripada pihak musuh. Di bahagian tengah terdapat pintu gerbang ke 3. Di kiri kanan tangga terdapat patung singa seolah-olah menjadi pengawal istana.
Pelan kawasan istana.
Bangunan di belakangku itu adalah tempat Maharaja bersemayam atau singgah sana dan balairong seri. Di kiri kanannya pula ialah pintu gerbang yang ke4.
Singgah sana Maharaja bersemayam
Kamar Maharaja

       Dari pintu 3, kami kebalai rong seri tempat raja bersemayam. Tetapi kami tidak boleh masuk ke dalam. Kami hanya dibenarkan mengambil gambar dari luar sahaja. Setelah mengambil gambar, kami masuk ke pintu ke 4 untuk melawat ke bangunan di mana terletaknya kamar-kamar raja. Sudah hampir separuh daripada bangunan istana kami lawati namun satu kamar mandi atau tandas pun yang kami temui. Kami bertanya kepada Saly di mana tandas dan kamar mandi. Menurut Saly, pada zaman dahulu kamar mandi terletak di bahagian luar bilik. Maharaja tidak perlu ke tandas kerana dia ramai hamba abdi. Dia boleh buang air di mana sahaja dengan menggunakan mangkuk tandas bergerak. Penerangan daripada Saly membuatkan aku terfikir bahawa betapa berkuasanya raja pada masa itu. Dia mampu lakukan apa sahaja tanpa bersusah payah. Tenaga rakyat dikerahkan demi kesenangan hidup. Menurut Saly, raja sangat malas bekerja. Mereka hanya duduk bersenang lenang. Sebab itulah umur mereka tidak panjang kerana mudah dihinggapi penyakit. Mereka juga tidak meninggalkan zuriat yang ramai walaupun mempunyai beratus-ratus orang perempuan simpanan. Raja akan membawa masuk perempuan yang dia suka ke istana. Walau bagaimanapun, semua isteri atau perempuan simpanan tidak dibenarkan masuk ke bilik raja. Raja akan pergi ke bilik isterinya atau perempuan mana yang dia suka untuk ditiduri. Dapat aku bayangkan betapa rakusnya raja-raja tika itu.

     Tentang istana di Kota Larangan ini pula, menurut Saly, untuk menyiapkan bangunan-bangunan di Kota Larangan ini mengambil masa 14 tahun untuk disiapkan. Enam tahun untuk mengumpul bahan-bahan dan 8 tahun untuk pembinaan. Semua bahan yang digunakan adalah daripada kayu yang kukuh sebab itulah walaupun sudah 500 tahun, bangunan istana masih kukuh. Mungkin juga disebabkan faktor cuaca menjadikan kayu-kayu tidak reput. 

     Selain daripada bangunan, kawasan istana yang luas juga dilengkapi dengan sungai dan bukit buatan. Menurut Feng Sui, rumah yang di terdapat sungai di bahagian hadapan dan bukit di belakangnya adalah sangat bertuah. Oleh itu, raja telah mengerahkan rakyatnya membina mengorek tanah untuk membuat sungai. Tanah yang dikorek itu pula dijadikan bukit. Sehingga sekarang bukit di belakang kawasan istana masih ada. Di atas bukit didirikan pula sebuah kuil. 

     Menurut Saly lagi, banyak filem yang menjalani penggambaran di Forbidden City. Tetapi bukan di sini, ada satu lagi Forbidden City yang dibina di Shanghai semata-mata untuk penggambaran filem. Fifi terus teringat filem Karate Kid. Memang filem itu menjalani penggambaran di Beijing dan Shanghai.

Kalau rajin, anda boleh klik link di bawah untuk mengetahui tentang Kota Larangan.

        



No comments:

Post a Comment