Pages

Total Pageviews

Monday 7 April 2014

LIBUR LAGI

23 Mac 2014 (Ahad)

     Cuti pertengahan penggal pertama telah bermula. Hari pertama cuti, masih menjalankan tugas di sekolah untuk kelas tambahan UPSR. Pada sebelah petangnya pula ke majlis kahwin, dan sebelah malam pula mengemas bagasi untuk perjalanan yang jauh. Ini adalah kali ke dua aku dan suami bercuti agak jauh dari tanah air. Tahun lepas kami mengerjakan Umrah. Cuti kali ini kami memilih Beijing sebagai destinasi percutian. Kali ini kami membawa anak bongsu bercuti bersama. Rasa kasihan pula untuk meninggalkannya bersama abang-abangnya.  Dia tidak sabar untuk menunggu hari yang dijanjikan. Kami telah merancang percutian ini sejak Disember lagi. Ramai yang berasa bimbang akan pemergian kami terutama emak. Tragedi kehilangan pesawat MH370 dari KLIA ke Beijing yang masih belum ditemui menyebabkan ramai yang berasa cuak. Walau bagaimanapun kami tidak membatalkan rancangan kami kerana semua persiapan telah dibuat, harapan kami semoga segalanya berjalan lancar.

     Pagi ini kami bertolak ke Kuala Lumpur. Mengikut jadual yang diberi penerbangan kami akan berlepas pada jam 7.00 malam nanti. Sampai di TBS (Terminal Bersepadu Selatan) hampir jam 4.00 petang. Anak sulung sudah menunggu untuk membawa kereta ke kediamannya. Tepat jam 4.00 kami bertolak ke LCCT dengan menaiki bas. Perjalanan dari TBS ke LCCT lebih kurang 45 minit. Pihak pengurusan Travel Agensi (Kembara Sufi Travel) sudah beberapa kali menghantar whats apps kepada hubby untuk mengingatkan kami tentang jadual perjalanan kami. Kami diminta berkumpul di hadapan Marry Brown di LCCT. Alhamdulillah...kami sampai tepat pada masanya. Setelah semua ahli sampai, kami masuk untuk check in bagasi dan pasport. Di sini barulah kami sempat berkenalan dengan peserta yang lain. Semuanya pergi bersama family masing-masing, paling tidak pun pasangan suami isteri. 

     Setelah urusan bagasi selesai, pihak pengurusan yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Fadzir (kalau tak silap) memberikan sedikit taklimat kepada kami dan mengedarkan jadual lawatan. Beliau hanya menguruskan pemergian kami di LCCT. Di Beijing nanti Ustaz Faiz akan menunggu ketibaan kami. Beliau juga turut membacakan doa dan mengucapkan selamat jalan kepada kami sebelum kami semua melangkah masuk ke balai berlepas. Tidak seperti di KLIA, di sini kami terpaksa berjalan agak jauh menuju ke kapal terbang. Kesepatan ini kami ambil untuk dirakamkan di dalam album percutian kami sebelum melangkah masuk ke dalam perut Air Asia X. 

     Kami mendapat tempat di bahagian ekor pesawat. Sudah beberapa kali menaiki pesawat sama ada MAS, NAS Air atau Air Asia tidak pernah lagi kami mendapat tempat di bahagian hadapan atau tengah. Hubby dan anakku Fifi duduk di seat berdua, aku di hadapan mereka bersama kak Liza kenalan baharuku. Dia juga seorang guru, pergi barsama tiga orang anaknya. Agak peramah juga orangnya.

     Tepat jam 7.00 p.m pesawat kami berlepas ke Beijing. Aku membaca doa di dalam hati agar perjalanan kami berjalan lancar. Tipulah kalau aku kata aku tak rasa apa-apa. Teringat akan tragedi yang menimpa MH370 membuatkan hatiku jadi sayu dan berdebar-debar. Lebih satu jam penerbangan, hubbyku berkata yang kami sekarang menghampiri sempadan Vietnam di mana MH370 hilang dari radar. Aku hanya tersenyum tapi dalam hati Allah sahaja yang tahu. Berdoa dan terus berdoa agar kami semua selamat sampai. 

      Petugas-petugas mula mengedarkan makanan yang dipesan oleh penumpang. Kami yang tidak memesan apa-apa, boleh membelinya terus di dalam pesawat. Tapi hanya mee segera sahaja. Bila dah lapar, mee segera pun rasa sangat sedap. Harga pun boleh tahan juga RM6-RM8 untuk satu bekas (cup). Air mineral pun sedap juga walaupun harga RM4 atau RM5 sebotol 500ml.

     Perut dah kenyang, apa lagi masa untuk tidur. Aku hanya dapat melelapkan mata beberapa ketika sahaja kerana suasana masih cerah dan kedengaran suara-suara penumpang berbual-bual serta anak kecil menangis. Aku pun tak tahu berapa lama agaknya lampu dipadamkan. Bila aku tersedar, suasana sudah riuh kembali. Pramugari-pramugari yang agak seksi mula ke hulu ke hilir bersama troli jualan. Terfikir juga dalam hati aku, kenapalah seksi sangat mereka ni. Baju terlalu sendat dengan zip di bahagian dada dibuka hingga ke pangkal dada. Skirt pula terlalu sendat dan singkat hingga ke paras paha. Kalau yang badan agak gebu sedikit tu, aku tengok macam nak pecah je..skirt mereka tu. Ada juga yang terbertas jahitan di bahagian belahan di paha. Walaupun dalam penerbangan kali ini semua mereka bukan melayu yang beragama Islam tapi aku rasa Air Asia harus membuat sedikit perubahan. Uniform untuk pramugara aku rasa memang cukup kemas dan sangat sesuai, terlalu ketara perbezaannya dengan pramugari. Semoga ada pihak yang berani bersuara untuk mengubah cara penampilan mereka, In sya Allah.


     



No comments:

Post a Comment