Pages

Total Pageviews

Monday 12 August 2013

AIR MATA HAJARUL ASWAD

IMPIAN TERLAKSANA

DAY 9 - JUMAAT (7/6/13 = 28 Rejab 1434)

Assalamualaikum wbt....

Bertemu kembali setelah agak lama menyepi. Al maklumlah, masing-masing sibuk membuat persiapan menyambut aidil fitri dan beraya ke sana-sini...tentu seronok kan...Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR & BATIN kepada semua follower dan siapa sahaja yang sudi membaca coretan saya ini. Saya akan menyambung semula kisah perjalanan umrah saya bersama suami yang hampir ke penghujungnya ini. Ikutilah kisah saya ini...

           Hari ini sudah 9 hari kami berada di bumi Ambia ini. Lagi 2 hari kami akan berada di Tanah Air, Insya Allah... Subuh hari ini aku bangun seperti biasa untuk bersiap ke masjid. Tetapi malangnya sesuatu terjadi padaku....dugaan sebelum berangkat pulang. Ada sedikit 'spot' telah keluar. Ini bermakna aku tidak boleh ke masjid. Agaknya semalam disebabkan terlalu banyak berjalan dari pagi hingga malam mengerjakan 2 umrah. Nampaknya tak dapatlah aku nak buat umrah ke 6 dan ke 7 dan yang paling aku rasa terkilan kalau-kalau tak boleh nak buat Tawaf Wada' petang esok. "Ya Allah, Ya Tuhanku permudahkanlah segala urusanku...."

             Hubby ke masjid seorang membawa harapan yang besar subuh ini. Sebelum itu aku berpesan kepadanya untuk berdoa untukku semoga masalahku ini tidak berlanjutan. Setelah hubby ke masjid, tinggallah aku seorang di bilik. Nak tidur semula dah tak rasa mengantuk, susah hati dan rasa kecewa.. Untuk menenangkan perasaanku yang kacau bilau, aku berzikir dan memohon kepada Allah agar memberi kesempatan kepadaku untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Baitullah..

            Hampir jam 6.00 pagi, aku turun untuk sarapan. Hubby sudah sedia menunggu. Seperti biasa selepas bersarapan kami sambung tidur kerana tiada aktiviti lain untuk dilakukan. Hampir jam 9.00 pagi aku terjaga, hubby bersiap-siap ke masjid lebih awal untuk solat Jumaat. Hari ini Jumaat ke dua kami di Tanah Suci. Jumaat pertama hubby berpeluang solat Jumaat di Masjid Nabawi dan hari ini berpeluang pula solat Jumaat di Masjidil Haram. Dia pergi lebih awal untuk melakukan Tawaf sunat terlebih dahulu dan mendapatkan saf pertama.

            Selepas hubby ke masjid, aku mengambil kesempatan untuk mengemas barang-barang yang kami beli di Madinah dan Mekah. Barang-barang yang agak berat mesti diagihkan sama rata ke dalam setiap beg agar semua beg sama beratnya. Berat yang dibenarkan untuk setiap jemaah tidak melebihi 25kg. Ini bermakna berat beg-beg kami tidak boleh melebihi 50kg. Sambil mengemas, aku membiarkan TV sentiasa on dengan channel live dari Masjidil Haram.  Selepas itu aku hanya berehat sementara menantikan waktu zuhur. Alhamdulillah...kerana selepas subuh tadi, tiada lagi 'spot' yang keluar. Ini bermakna aku boleh menunaikan solat tapi masih tidak boleh ke masjid dalam masa 24 jam. Mudah-mudahan petang esok aku boleh Tawaf Wada'. In sya Allah...

           Semasa menonton channel live dari Masjidil Haram, aku tidak dapat menahan sebak dan air mata daripada mengalir. Ini disebabkan oleh Imam solat Jumaat yang membaca surah (tak pasti surah apa) sambil menangis tersedu-sedan diikuti oleh makmum lain yang memahami ayat-ayat yang dibaca itu. Aku yang tidak faham ini pun boleh mengalirkan air mata apatah lagi mereka yang faham.. Setelah menunaikan solat Zuhur, aku turun ke dewan makan untuk makan tengah hari.

           Balik ke bilik aku dan hubby hanya berehat dan berbual-bual tentang hari-hari yang telah berlalu sepanjang berada di Tanah Suci. Hubby sekali lagi menyatakan hasratnya untuk mengucup Hajarul Aswad. Aku hanya minta dia berhati-hati dan tidak bertindak di luar batas atau terikut-ikut dengan perbuatan jemaah lain. Jam 3.00 petang hubby ke masjid untuk solat Asar dan membawa harapan yang menggunung. Aku mengiringinya dengan doa agar hajatnya kesampaian. 

            Sedang aku berkira-kira untuk turun ke kedai membeli sesuatu untuk dijadikan cendera hati, hubby menelefon aku dengan suara yang ceria. Dia memberitahuku yang seliparnya hilang hanya tinggal beg uncangnya sahaja. Tapi dalam pada itu, dia telah memberitahuku berita gembira. Aku turut gembira mendengarnya. "Masya Allah...disempurnakan hajat suamiku tapi diberi pula dugaan kecil dengan kehilangan selipar." Semua itu terkandung hikmah yang Dia sahaja yang mengetahuinya."Syukur Alhamdulillah....terima kasih Ya Allah kerana telah memakbulkan doa kami." Akhirnya hubby dapat juga mengucup Hajarul Aswad sebagaimana yang dihajatinya.

           Aku tidak sabar menunggu hubby balik ke hotel. Aku nak dengar ceritanya bagaimana dia dapat mengucup Hajarul Aswad. Sampai di bilik, aku terus memeluknya sambil mengucapkan syukur dan tahniah. Dia pun bercerita kepadaku dengan penuh perasaan. Sebelum solat Asar, seperti biasa dia mengerjakan Tawaf sunat. Masa tu jemaah terlalu ramai, peluang untuk merapatkan diri ke Ka'bah memang tipis. Selepas selesai Tawaf sunat yang memakan masa hampir satu jam, dia bersolat sunat Tawaf seperti biasa. Selepas itu mengerjakan solat sunat hajat memohon diberi kelapangan dan kemudahan baginya untuk mengucup Hajarul Aswad. 

            Selesai solat hajat, hubby masih berdoa di hadapan Multazam memohon dan terus memohon kepada Allah. Masa itu azan Asar telah berkumandang. Semua jemaah diminta beredar dari menghampiri Ka'bah dan mengerjakan Tawaf kerana solat Asar akan didirikan. Hubby dapat solat dalam saf pertama di hadapan pancuran emas bersama jemaah India. Selesai sahaja solat Asar dan solat jenazah, hubby terus merapatkan dirinya ke Ka'bah sambil berdoa dalam hati agar ada ruang untuknya. Setelah berkali-kali mencuba, akhirnya hubby dapat memegang dinding Ka'bah di rukun Yamani. Dari situ dia cuba bergerak perlahan-lahan menuju ke Hajarul Aswad. Dia terpaksa merelakan dirinya dihimpit beberapa kali. Aku dapat bayangkan bagaimana keadaan hubby masa tu...

             Hubby meneruskan ceritanya lagi. Setelah bersusah payah, akhirnya dia dapat juga sampai ke Rukun Hajarul Aswad tapi masih tidak dapat mengucupnya. Dia cuba berpaut pada bingkai yang melingkari Hajarul Aswad beberapa ketika sambil memohon kepada Allah agar diberikan sedikit ruang untuknya. Tanpa disedari, dia telah ditolak seseorang ke hadapan. Dia betul-betul berhadapan dengan Hajarul Aswad yang terbuka luas untuknya. Tanpa berlengah, dia terus memasukkan mukanya ke Hajarul Aswad dan mengucupnya sekali. Masa itu dia rasa seolah-olah tidak lagi mendengar suara hiruk-pikuk jemaah lain. Katanya, dia rasa macam berada dalam dunia yang berbeza. Tiada pun tangan-tangan yang menolaknya dan menghimpit badannya. Lantas dia terus mengucupnya beberapa kali. Selepas itu barulah dia tersedar yang jemaah lain juga sedang menunggu giliran untuk mengucup Hajarul Aswad. Dia terus menarik mukanya keluar dan berdiri untuk keluar dari kawasan itu. Tapi dia tersekat di tepi dinding Ka'bah. Dia rasa seolah-olah diangkat kerana berada lebih tinggi daripada jemaah lain. Rupa-rupanya dia berdiri di atas Syazarwan betul-betul di Multazam berhampiran dengan polis yang mengawal kawasan itu. Dia melekapkan dadanya ke Multazam sambil tangannya memaut kain / kelambu Ka'bah. Dia betul-betul tersekat di situ sambil dihimpit oleh jemaah-jemaah lain. Dia rasa macam tidak boleh bernafas kerana himpitan itu. Dia berdoa dan terus berdoa kerana berpeluang merapatkan diri di Multazam walaupun dalam keadaan yang menyakitkan itu. Akhirnya, dia berjaya keluar ke dataran Tawaf dengan penuh rasa kesyukuran. Keluar dari situ katanya dia rasa kepenatan seolah-olah baharu lepas berlari 100m.

            Sampai di dataran Tawaf, hubby terus mengerjakan solat sunat dan sujud syukur. Masa itu katanya perasaannya sungguh terharu hingga mengalirkan air mata. Lama juga dia terpaku di dataran sambil mengadap Ka'bah. Rasa kepuasan susah untuk digambarkan. Patutlah jemaah yang telah berjaya mengucup Hajarul Aswad begitu rasa gembira bercerita sesama mereka. Sekarang perasaan itu telah sampai kepadanya. Aku tumpang gembira mendengarnya dan bersyukur kepada Allah kerana telah menunaikan hajat hubby, walaupun aku masih belum diberi peluang dan kesempatan untuk melakukannya, tapi aku juga rasa terharu kerana orang yang aku cintai telah berjaya mencapai hasratnya. Aku turut mengalirkan air mata untuk itu. In syaa Allah...mungkin ada kesempatan pada masa yang lain untukku....

         Hubby bercerita lagi...dengan perasaan puas dan penuh syukur, dia keluar dari masjid. Sebaik sahaja sampai di rak kasut, dia mendapati beg uncang kasutnya dah hilang. Dia pergi pula ke rak kasut yang lagi satu. Uncang kasut ada di situ tapi seliparnya dah tak ada. Dia pergi ke tempat longgokan selipar yang dikumpul oleh petugas di situ tapi seliparnya tiada juga. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meminjam selipar yang ada di situ untuk balik ke hotel.

          Sebenarnya hubby ada sepasang lagi selipar Asadi berwarna putih yang mula-mula dibeli untuk dibawa umrah. Entah macam mana, dua hari sebelum berangkat ke Tanah Suci dia membeli pula sepasang lagi selipar yang lain. Jadi, selipar putih itu langsung tidak dipakainyan sedangkan niat asalnya hendak memakai selipar putih itu sewaktu mengerjakan umrah. Agaknya sebab itulah selipar yang kedua itu hilang sehari sebelum kami berangkat pulang. Selipar putih itu hendak juga memijak Tanah Suci sebagaimana niat hubby yang asal.

          Sebelum pergi ke masjid semula untuk memulangkan selipar yang dipinjamnya itu, dia mandi dan menukar jubah yang lain kerana jubah yang dipakainya tadi telah berbau 'pak arab' katanya. Masa hendak mengucup Hajarul Aswad tadi, dia telah dihimpit oleh pak Arab-pak Arab yang memakai minyak atar. Kelakar pulak bila aku dengar ceritanya...Selepas itu, dia turun ke masjid semula untuk memulangkan selipar yang dipakainya tadi. Aku juga turun bersamanya untuk menghilangkan kebosanan duduk di bilik. Aku hanya berjalan-jalan window shopping sementara menunggu hubby balik.

         Selepas itu tergerak pula hatiku mengajak hubby window shopping di sekitar bangunan Safwa Tower. Kami masuk dari satu kedai ke satu kedai. Kedai perfume, kedai jubah, kedai batu permata, kedai emas dan perhiasan yang exlusif dan macam-macam kedai lagi. Barang-barang di sini agak mahal sedikit sebabnya tempatnya agak exlusif. Sayangnya, aku tidak membawa GS4 ku jadi, tidak dapatlah aku nak berpossing dengan hubby. Peniaga-peniaga di sini juga boleh berbahasa Melayu. Ramai yang tidak percaya yang hubby orang Melayu. Mereka mengagak hubby orang Pakistan atau berdarah campuran. Mereka membandingkan aku dengan hubby. Mereka kata yang aku memang muka orang Melayu sebab hidungku ini.....("ish....apalah pak arab ni.." bisik hatiku.). Mereka kata hidung dan warna mata hubby menunjukkan dia bukan orang Melayu. Puaslah aku dan hubby menafikannya. ("Lantak kau lah nak kata apa pun").

          Kami balik ke hotel kerana hubby perlu bersiap ke masjid pula untuk solat maghrib. Selepas hubby ke masjid, aku keseorangan di bilik. Tak tahu nak buat apa, aku teringat yang aku ada membeli inai dalam tiub. Sementara menunggu hubby balik, aku memakai inai di semua jari tangan dan jari kakiku. Macam pengantik pula rasanya...Dalam masa satu jam sahaja semua jariku sudah merah.

          Selepas solat Isyak, aku turun dari bilik untuk makan malam. Masa makan, Ustaz Hamdan memberi tahu kami esok kami akan berangkat ke Jedah selepas solat Zuhur. Beliau menerangkan apa yang patut kami buat hari esok. Selepas itu aku dan hubby balik ke bilik. Malam itu kami tidur lebih awal. Sebelum itu, aku   berdoa agar pagi esok aku boleh ke masjid dan melakukan Tawaf Wada' sebelum kami berlepas ke Jeddah.

             
Ruang Tawaf terkini.
         
Bahagian-bahagian Ka'bah


http://www.myberita.net/misteri-hajar-aswad-dan-rahsia-besar-ketika-menciumnya/ 


        Tamatlah sudah kisah ku untuk hari ke-9 ini. In sya Allah...aku akan menyambung ceritaku untuk hari terakhir di Tanah Suci. In sya Allah...      

No comments:

Post a Comment