Pages

Total Pageviews

Sunday 14 July 2013

ZIARAH LUAR - UMRAH KE 2

ZIARAH LUAR & BERMIQAT

DAY 6 - 04 Jun 2013 (SELASA)

Asslamualaikum WBT..Bertemu kembali...ikutilah kisahku yang seterusnya.

           Aku dan hubby pulang ke hotel setelah selesai menunaikan solat Subuh pertama kami di Masjidil Haram. Semasa keluar dari masjid dan menunggu hubby di pintu, aku lihat jemaah yang ramai...lebih ramai dari jemaah di Masjid Nabawi. King Abdul Aziz Gate ini menjadi pintu utama jemaah kerana As Salam Gate (Bab As Salam) telah ditutup kerana projek pembesaran Masjidil Haram. Ramai jemaah yang bertumpu di hotel-hotel kawasan sekitar As Safwa Tower kerana inilah kawasan yang paling hampir dengan Masjidil Haram. Hotel-hotel di hadapan As Salam Gate semuanya telah diruntuhkan. 

           Sampai di hotel kami terus bersarapan. Waktu itu baru jam 5.30 pagi. Tapi suasana di Tanah Suci seperti pukul 7.00 pagi di negara kita. Setelah selesai bersarapan kami naik ke bilik. Agak lama juga menunggu giliran menaiki lif di hotel ini kerana hanya ada 2 lif di sebelah kiri dan 2 lif lagi di sebelah kanan. Jika di hotel Madinah, kami tak payah berebut-rebut kerana setiap sudut ada lif. Kami lihat pada dinding berhampiran pintu lif ada notice pemberitahuan untuk kumpulan 7 (Ustaz Hamdan) kumpulan kami lah itu. Kami dikehendaki berkumpul dilobi pukul 4.30 petang ini untuk aktiviti ziarah luar dan bermiqat. Semua jemaah diminta membawa pakaian ihram kerana kami akan bermiqat di Jara'nah dalam perjalanan balik ke Tanah Haram nanti untuk melakukan umrah ke 2.

           Kami naik ke bilik untuk merehatkan badan sementara menunggu masuk waktu solat Zuhur. Aku mengambil kesempatan membasuh pakaian. Cuaca yang panas menyebabkan pakaian yang dibasuh cepat kering. 'Hanger' je dalam bilik air, bila dah tus airnya, bawa masuk ke bilik dan sangkut je di mana-mana tempat yang sesuai. Ingatan kepada bakal jemaah haji atau umrah, jangan lupa membawa hanger jika berhajat untuk membasuh pakaian sendiri. Kalau nak lebih mudah, hantar saje ke perkhidmatan dobi yang disediakan oleh pihak hotel. Tapi kalau setakat sepasang dua je pakaian dan 'pakaian dalam' kita tu, rasanya memadailah kita mencuci sendiri. Lagipun bukannya kotor sangat, peluh pun tidak seperti peluh kita di Malaysia. Kalau di tempat kita, sampai basah kuyup peluh kita keluar jika banyak bergerak atau bekerja dalam cuaca panas. Tetapi di negara yang beriklim panas kering ini, badan kita tidak mengeluarkan peluh yang banyak. Tambahan pula berada di Tanah Suci, badan kita tidak berbau busuk pun. Itulah yang dapat aku rasakan. Tak tahulah orang lain, sama aje kut...

             Pukul 11.00 a.m kami ke Masjidil Haram untuk solat Zuhur, Jemaah lain juga dah ramai ke masjid. Dalam cuaca yang panas ini aku lihat ramai jemaah wanita yang berniqab, begitu juga aku. Kalau di Malaysia tentu rasa rimas dan nampak pelik, tapi di sini rasa selesa dan tiada siapa yang nak ambil tahu. Sampai di masjid, hubby seperti biasa meletakkan beg kasut kami di rak berhampiran King Abdul Aziz Gate. Oleh kerana jemaah belum ramai, kami turun ke dataran tawaf untuk mengerjakan tawaf sunat untuk menggantikan solat sunat tahiyatul masjid. Ulama berpendapat bahawa "sesiapa yang masuk ke Masjidil Haram dan terus mengerjakan tawaf, sama ada tawaf wajib atau tawaf sunat tidak disunatkan terlebih dahulu mengerjakan solat tahiyatul masjid." 
*Tawaf Sunat
  -  adalah  satu ibadah yang mempunyai nilai yang sangat tinggi dibandingkan dengan lain-lain ibadah sunat semasa berada di Tanah Suci, Mekah. Para jemaah digalakkan untuk mengerjakannya sebanyak yang boleh ketika berada di dalam masjid. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar yang bermaksud :
" Allah menurunkan 120 rahmat setiap hari di Baitullah, 60 bagi mereka yang bertawaf, 40 bagi      mereka yang bersolat dan 20 bagi mereka yang memandangnya."

 Lafaz niatnya ialah:
    "Sahaja aku tawaf di Baitullah ini tujuh pusingan kerana tawaf sunat, maka permudahkanlah   
      pekerjaanku dan terimalah kerana Allah Ta'ala."
 Hukum berniat bagi tawaf sunat adalah wajib. Syarat-syarat dan caranya adalah sama seperti      tawaf-tawaf yang lain. Setiap kali selesai disunatkan pula mengerjakan solat sunat dua rakaat.

           Walaupun jemaah tidak terlalu ramai sewaktu kami mengerjakan tawaf sunat, tapi agak mencabar jugalah kerana cuaca yang panas, matahari betul-betul di atas kepala. Alhamdulillah..kami berjaya menghabiskan tawaf sunat tanpa sebarang kesulitan. Setelah selesai mengerjakan solat sunat tawaf, aku  masuk ke dalam masjid ke ruang solat untuk jemaah wanita. Hubby hanya beredar ke ruang solat di dataran tawaf. Dia nak solat dalam saf pertama di hadapan Baitullah. Itulah satu keistimewaan jemaah lelaki, mereka boleh bersolat di dataran tawaf dalam saf pertama jika datang awal. Tapi jemaah wanita tidak dibenarkan. Aku terus naik ke ruang solat di tingkat 1 kerana ingin melihat Kaabah dari tingkat atas. Sebelum itu, hubby memberitahu yang dia akan mengerjakan tawaf sunat sekali lagi selepas solat zuhur nanti. Kami bejanji akan bertemu di pintu yang kami masuk tadi selepas dia selesai mengerjakan tawaf sunat.
 

           Sampai di tingkat atas, aku mencari ruang solat wanita yang paling hampir dengan bahagian balkoni supaya aku dapat melihat Ka'bah dengan jelas. Aku lihat di balkoni penuh dengan jemaah yang sedang memerhati Ka'bah. Ada yang berdoa, ada yang berbual-bual dan ada juga yang sedang mengambil gambar. Aku membiarkan sahaja kerana azan zuhur telah berkumandang. Aku mengambil tempat di saf yang dipenuhi jemaah arab. Jemaah yang bertelekung putih sepertiku tidak ramai, mungkin mereka berada di ruang lain.

           Selesai mengerjakan solat zuhur, solat jenazah dan solat sunat, aku terus mencari ruang di balkoni. Subhanallah...betapa indahnya pemandangan yang ku lihat. Walaupun hanya sebuah kotak hitam di tengah-tengah dataran, tapi aku rasa tiada pemandangan yang lebih indah yang pernah aku lihat sebelum ini. Patutlah ramai yang mengatakan Ka'bah adalah satu binaan yang sangat indah dan kekal di situ sejak berkurun lamanya...Kini aku berdiri betul-betul mengadap Rukun Yamani (menurut agakanku dari atas ni). Aku tidak melepaskan peluang untuk menikmati keindahannya dan berdoa sebanyak-banyaknya. Aku tidak lupa turut berdoa untuk rakan-rakan dan sahabat handai yang berpesan minta disampaikan doa mereka di sini.  Aku melihat ramai jemaah yang sedang mengerjakan tawaf. Di antara jemaah yang ramai itu, salah seorangnya hubby. Tapi dari atas ni, mana satulah dia tak dapat nak aku cam kan. Aku juga dapat melihat di bahagian kanan ku projek pembesaran Masjidil Haram sedang pesat dijalankan. Walaupun kelihatan berpuluh-puluh jentera kren yang sedang bekerja, tapi sedikit pun tidak menghalang para jemaah untuk mengerjakan ibadah, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sempat jugalah aku mengabadikan kenangan indah ini di dalam GS4 ku.



           Setelah mendapat mesej daripada hubby, memberitahu yang dia sudah selesai mengerjakan tawaf sunat, aku pun terus beredar dari balkoni dan turun ke tingkat bawah untuk keluar dari masjid. Kali ini aku turun dengan ascalator melalui pintu di sebelah kiri. Sampai di bahagian luar sebelum turun ke dataran masjid, sekali lagi aku melihat pemandangan yang menakjubkan. Subhanallah...cantiknya bangunan Clock Tower. Di kawasan dataran pula, dipenuhi dengan jemaah-jemaah yang keluar masuk dari masjid. Meriahnya...begitulah yang dapat aku gambarkan. Pemandangan seperti ini tidak akan dapat aku lihat di mana-mana masjid di dunia ini kecuali di Masjidil Haram.
            
 


          Aku dan hubby melangkah pulang ke hotel dalam arus orang ramai. Suhu ketika itu mencecah 45 darjah celcius. Memang panas...kalau tidak berselipar atau berkasut, pijak pula di atas jalan tar...rasanya mahu melecur tapak kaki. Namun begitu ada juga aku lihat jemaah yang kehilangan selipar terpaksa pulang berkaki ayam sementara untuk samapai ke kedai yang menjual selipar. "Ya Allah, jauhkanlah aku daripada segala kepayaan."

            Sampai di hotel kami terus ke dewan makan untuk makan tengah hari. Selepas itu kami keluar semula ke kedai untuk membeli beg sandang. Beg itu digunakan untuk mengisi kain ihram hubby. Beg kami yang sedia ada semuanya besar. Setelah selesai proses tawar menawar, dapatlah kami membeli beg itu dengan harga yang berpatutan. Kami naik semula ke hotel untuk merehatkan diri seketika. Hari ini kami bersolat Asar di bilik sahaja kerana masa tidak mengizinkan kami untuk ke masjid.

             Tepat jam 4.30 petang, kami berkumpul di lobi hotel. Tidak lama kemudian, kami menaiki bas yang disediakan mengikut kumpulan masing-masing. Dalam perjalanan, Ustaz Hamdan memberi sedikit taklimat dan menunjukkan tempat-tempat bersejarah di kota Mekah ini. Pelbagai kisah sejarah Rasulullah SAW diceritakan semula sebagai peringatan.

            Antaranya kisah persembunyian baginda daripada orang kafir Quraisy di Gua Thur bersama Saidina Abu Bakar, kisah Saidina  Abu Bakar dipatuk ular dan kisah puteri Saidina Abu Bakar Asma'  menghantar bekalan makanan untuk ayahnya dan Rasulullah. Masya Allah...betapa cintanya mereka kepada Rasulullah....Baginda terpaksa bersembunyi selama 3 malam ketika peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
   
           Jabal Thur terletak kira-kira 4 km dari arah selatan Masjidil Haram. Ketinggian Jabal Thur ialah 458 meter, manakala Gua Thur berkeluasan hanya 3.5 meter panjang serta lebar dan tingginya 1.25 meter sahaja. Jabal Thur terdiri daripada rangkaian tiga buah bukit manakala guanya pula berada di bukit yang ketiga. Untuk tiba di Gua Thur, seseorang hendaklah mendaki dan menuruni bukit selain terpaksa melalui lorong yang bengkang-bengkok. Perjalanan ini mengambil masa antara 1 hingga 2 jam. 

        Kami tidak singgah pun di Jabal Thur, hanya melihat dari dalam bas sahaja. Perjalanan diteruskan ke Arafah. Padang Arafah adalah tempat perhimpunan (wuquf iaitu salah satu daripada rukun Haji) semua jemaah haji pada 9 Zulhijjah setiap tahun. Arafah merupakan sebuah hamparan padang pasir yang luasnya kira-kira 10.4 km persegi. Jaraknya dari Kota Mekah ialah 21.9 km dari arah tenggara Masjidil Haram. Arafah adalah tanah halal dan pemisah antaranya dengan tanah haram adalah Wadi 'Uranah iaitu tempat di mana Rasulullah SAW menyampaikan Khutbah Arafah ketika mengerjakan Hajjatul Wada' pada tahun 10H.
Jabal Thur dari dalam bas
          Kini, kerajaan Arab Saudi telah menanam sebanyak 100 ribu pokok bertujuan menyegarkan udara dan menjadi tempat berteduh jemaah haji. Menurut kata Ustaz Hamdan, bekas perdana menteri kita Tun Dr Mahathir Muhamad yang telah memberikan idea penanaman pokok di Arafah ini. Memang udara di Arafah ini sangat panas. Suhu ketika ini agaknya mencecah ke 50 darjah celcius. Angin yang bertiup tidak terasa nyaman seperti di negara kita. Apa yang aku dapat rasakan angin itu membawa bahang kepanasan seperti kita berada berhampiran dengan tempat pembakaran atau oven. Pemakaian niqab (penutup muka) dapat melindung muka kita daripada kehangatan. Beginilah sedikit gambaran tentang udara di Arafah dalam musim panas.

       Di Arafah ini juga terdapatnya Jabal Rahmah, tempat bertemunya semula Nabi Allah Adam dengan isterinya Hawa setelah terkeluar dari syurga. Di kaki bukit ini terdapat al-Sakhrah iaitu batu tempat Rasulullah SAW berwuquf. Oleh kerana tidak ramai jemaah lain yang datang bersama rombongan kami, keadaan di sekitar Jabal Rahmah tidaklah padat. Jadi kami mengambil kesempatan untuk mendaki hingga ke puncak di mana terletak satu tiang putih seperti tugu. Tugu ini dibina untuk menandakan tempat pertemuan semula Nabi Adam dan isterinya Hawa. Semput juga nak sampai ke atas, tambahan lagi dengan tiupan angin yang agak kuat. Macam nak tumbang juga rasanya...nasiblah hubby sentiasa berada di sisiku. Sekali-sekala dapat juga aku berpaut pada lengannya. 

         Sampai di atas, ramai juga juru gambar yang seolah-olah memaksa kami untuk mengambil gambar. Kalau murah takpelah juga...tapi sekeping gambar SR20, siapa yang nak. Lebih baik snap sendiri, nak banyak mana pun boleh. Aku dan hubby tak buat apa pun di sini selain dari mengambil gambar. Kami tidak  bersolat pun di sini cuma berdoa aje dalam hati semoga jodoh kami berkekalan hingga ke Jannah dan bahagia selalu. Bukannya apa, bimbang jika menimbulkan unsur-unsur bidaah pula kerana Rasulullah tidak melakukannya. Sila rujuk link ini untuk maklumat lanjut. http://islamqa.info/id/ref/109290

Arafah - berlatarbelakangkan Jabal Rahmah
         


di puncak Jabal Rahmah
Dari puncak Jabal Rahmah kelihatan sayup-sayup Masjid Namirah

          Dari Arafah kami dibawa ke Muzdalifah dan Mina. Muzdalifah merupakan tempat bagi jemaah haji bermalam (mabit) pada malam 10 Zulhijjah. Muzdalifah adalah tanah haram yang jaraknya dari Mekah kira-kira 13.9 km. Ia terletak di antara Ma'zimal Arafah (lorong sempit di antara dua bukit) dan Muhassir yang merangkumi jarak 4 km keluasan 12.25 km persegi. Terdapat sebuah masjid di Muzdalifah yang dikenali sebagai masjid al-Masy'ar al-Haram. Ianya merupakan tempat Baginda Rasulullah SAW mengerjakan solat Maghrib dan Isyak seterusnya mabit sehingga keesokan harinya. Jarak masjid ini dengan Masjid Namirah adalah 7 km manakala jaraknya dari Masjid Khaif di Mina kira-kira 5 km.

          Mina adalah tanah haram yang menjadi tempat mabit bagi jemaah haji pada malam 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Ianya dinamakan Mina kerana banyaknya darah yang mengalir daripada binatang ternakan yang disembelih sebagai dam, korban atau sedekah. Mina terlatak di antara Muzdalifah dan Mekah. Jarak Mina ialah 7km dari arah timur laut Masjidil Haram atau 4 km melalui terowong. Sempadan syarak bagi Mina pula ialah Wadi Muhassir di sebelah MUzdalifah dan Jamrah Kubra di sebelah Mekah. Mina berada di antara dua buah bukit iaitu Jabal Sobih dan Jabal Thabir mempunyai keluasan 8.16 km persegi.

          Tempat melontar jamrah di Mina.

              Di Mina terdapat dua jamrah yang menjadi tempat bagi jemaah haji melontar anak-anak batu sebagai sebahagian daripada amalan haji. Ia dipanggil Jamrah kerana anak-anak batu dilontar ke tempat tersebut atau kerana batu yang dilontar terkumpul di situ. Jamrah-jamrah tersebut ialah Jamrah Sughra dan Jamrah Wusta yang jarak antara kedua-duanya kira-kira 200 meter. Jamrah terakhir pula ialah Kubra yang terletak kira-kira 247 meter dari Jamrah Wusta dan menghadap ke Mekah. Di jamrah-jamrah inilah tempat di mana Nabi Ibrahim SAW melontar batu-batu ke arah syaitan yang cuba mengganggu baginda daripada melaksanakan  perintah Allah sehingga syaitan jatuh tersungkur. Rasulullah pula ketika mengerjakan Hajjatul Wada' , baginda telah menyampaikan khutbah Aidil Adha di antara jamrah-jamrah ini.

             Kami hanya melihat kawasan sekeliling dari dalam bas sahaja sambil mendengar penerangan daripada Ustaz Hamdan. Kami perlu segera ke sempadan tanah halal untuk bermiqat umrah. Kali ini kami bermiqat di Masjid Ja'ranah yang terletak di Al-Syara'i' kira-kira 16 km dari Masjidil Haram. Sejarah mencatatkan bahawa di sini merupakan tempat Baginda Rasulullah SAW berihram umrah. Peristiwa ini berlaku dalam bulan Zulkaedah tahun 8 hijrah iaitu selepas peperangan Hunayn di mana pada siang hari sebelumnya, Baginda telah membahagikan harta rampasan perang kepada mujahid. Manakala pada malamnya pula, Baginda secara senyap-senyap telah pergi menunaikan umrah di Masjidil Haram, Mekah.

              Setelah selesai berihram di Masjid Ja'ranah, kami meneruskan perjalanan pulang ke kota Mekah. Waktu dah hampir masuk Maghrib. Nampaknya kami tak sempat nak bersolat Maghrib di Masjidil Haram. Dalam perjalanan balik, kami nampak Jabal Al-Nur atau Bukit Cahaya di sebelah kiri kami. Di sinilah terletaknya Gua Hira' tempat Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama daripada Allah yang disampaikan oleh Malaikat Jibrail. Jabal al Nur terletak kira-kira 5 km dari arah timur laut Masjidil Haram. Aku sempat juga mengambil gambar dari dalam bas. Waktu itu keadaan sekeliling sudah hampir gelap. Bila dilihat dalam gambar, memang bukit ini seolah-olah bercahaya. Mungkin disebabkan cahaya itulah, maka ia diberi nama Jabal Al Nur.  

Jabal Al-Nur
                 Kami sampai di hotel hampir jam 7.30 malam. Kami naik ke bilik untuk solat Maghrib. Untuk umrah ke dua ini, kami diberi kebebasan untuk mengerjakannya sama ada secara kumpulan atau individu. Selepas solat Maghrib, kami berehat sebentar sementara menunggu solat Isyak dan makan malam. Kami solat Isyak di hotel kerana perut dah terasa lapar.

              Selesai menunaikan solat Isyak, kami terus ke Masjidil Haram untuk mengerjakan tawaf dan Saie. Alhamdulillah..kami dapat menyelesaikan tawaf  dalam setengah jam sahaja kerana jemaah tidak terlalu ramai. Untuk umrah kedua ini, kami bercadang mengerjakan Saie di tingkat satu. Di sini jemaah agak ramai. Entah mengapa, kali ini aku rasa penat sangat...Sampai pusingan ke tiga, aku macam dah tak boleh nak melangkah. Terasa berat sangat kaki ku ini...aku menyuruh hubby jalan dahulu nanti tunggu je aku di Marwah setelah habis 7 pusingan. 

              Aku melangkah perlahan-lahan, sambil membaca doa di dalam buku doa yang dibekalkan. Kalau aku berhenti rehat, sudah pasti aku tertidur kerana mataku pun terasa berat je...Aku gagahi juga langkahku walaupun perlahan. "Ya Allah, ampunkan dosaku...berikanlah aku kekuatan untuk menghabiskan perjalananku ini..." Tiba di paip zam zam aku berhenti sebentar untuk membasahkan tekak ku yang kekeringan. Sebelum minum aku membaca selawat sifa dan meminta Allah memberikan kekuatan kepadaku. Dalam pusingan ke lima aku bertemu kembali dengan hubby. Rupanya dia dah pusingan ke tujuh, aku ketinggalan 2 pusingan daripadanya. Sampai di Marwah, aku meneruskan 2 pusingan lagi. Hubby sudah menamatkan Saienya dan duduk menungguku di atas batu Bukit Marwah. 

              Akhirnya aku dapat juga menghabiskan Saie ku yang kedua, Alhamdulillah...walaupun dalam kepayahan aku berjaya juga. Aku mencari hubby di Marwah tapi tak nampak pun dia. Macam mana aku nak bertahlul, sebab gunting ada dalam begnya. Di satu sudut aku lihat beberapa jemaah wanita sedang bertahlul. Aku segera ke situ dan meminjam guntingnya. Setelah mengucapkan terima kasih, aku mencari hubby sekali lagi, tapi masih tidak bertemu. Aku cuba call tapi kredit pula habis...dugaan betul... Aku nampak Lydia dan suaminya di pintu keluar sebelah Marwah. Tapi kami tidak boleh keluar dari pintu itu kerana hotel kami jauh dari situ. Kami mesti keluar melalui Safar. Aku dan Lydia berbual-bual sementara dia menunggu ibu mertuanya. Akhirnya tinggallah aku sendirian di situ kerana Lydia dan keluarganya telah menuju ke Safar semula untuk pulang ke hotel.

                Setelah Lydia pergi, barulah aku teringat, kenapalah aku tak pinjam je hand phone dia untuk call hubby. Aduh...mana hubby ni...rasa macam nak nangis pun ada...tapi aku control perasaan. Takkan ujian macam ni pun aku nak menangis...Aku kuatkan semangat dan berdoa semoga hubby tidak ke mana-mana dan aku juga tidak terlalu risau. Setengah jam berlalu, tapi hubby tak juga muncul. Aku mengambil keputusan untuk balik saje ke hotel. Mujurlah beg selipar aku bawa bersama, jadi tidaklah susah nak cari rak tempat hubby meletakkan beg seliparnya.

                Tiba di dataran masjid aku bertemu semula Lydia dan familynya. Aku berjalan ke hotel bersama mereka. Sampai di kedai menjual aiskrim dan jus, kami berhenti untuk membeli minuman. Sudah lama aku teringin nak makan aiskrim di Mekah ni, malam ni barulah tercapai hajat. aku membeli aiskrim kun, Lydia dan suaminya membeli aiskrim cup. Aku terpaksa berjalan dengan pantas kerana aiskrim ku cair dengan cepat, dah meleleh...terpaksalah aku jilat sikit-sikit..."ish sungguh kurang sopan, kalau anak-anak makan sambil berjalan kena marah...dah terpaksa nak buat macam mana."

                  Belum lagi sampai ke hotel, hand phoneku berbunyi. Rupanya hubby yang call. Lega rasa hati..."alamak, kesiannya dia...rupanya dia masih lagi di Marwah menunggu aku, sedangkan aku sedap-sedap makan aiskrim dan dah nak sampai ke hotel. "macam manalah tadi aku boleh tak nampak dia di situ? Dia pun tak nampak aku mencarinya...pelik betul.." Begitulah kalau dah terlalu ramai, suami sendiri pun dah tak kenal. Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana tidak ada apa-apa yang berlaku kepada kami. Ini semua ujian Allah kepada kami...semoga selepas ini kami lebih berhati-hati.

                Sampai di hotel, aku duduk sebentar di lobi untuk menghabiskan aiskrim ku. Rasa tak cukup pulak...macam nak beli lagi...Malas pulak aku nak keluar semula, esok ajelah kalau nak beli lagi. Aku naik ke bilik, jam pun dah hampir ke pukul 12 tengah malam. Setelah mencuci muka dan memberus gigi, aku naik ke katil kerana mata pun dah tak larat nak celik, mengantuk sangat. Sebelum itu aku mengurut kakiku yang lenguh dengan minyak Habatussauda. Tidak lama kemudian hubby mengetuk pintu bilik. Sebaik ku buka pintu bilik, terkejut aku melihat kepala hubby yang dah gondol (botak licin). Sepatutnya selepas umrah pertama sunat bercukur, tapi semalam tak sempat sebab lepas selesai mengerjakan saie, kami terus duduk di masjid hingga solat subuh. "Subhanallah...hensem pulak aku tengok hubby botak licin macam ni..." Sebelum ini, sepanjang perkahwinan kami hubby tak pernah pun membotakkan kepalanya, paling pendek pun dia bercukur nombor 2 ala-ala komando. Aku rasa happy sangat malam itu walaupun letih dan kaki ku sakit, aku tidur dengan lena. Begitu juga dengan hubby. Alhamdulillah...hari ke 6 kami lalui dengan tabah dan penuh kenangan manis.
Tinggalan batu di Bukit Marwah
Jemaah duduk di atas batu Bukit Marwah setelah selesai bersaie.
Di Bukit Safar, tempat bermulanya Saie. Di atasnya pula tempat permulaan Saie tingkat 2.

 *JUMPA LAGI DALAM EPISOD SETERUSNYA...ASSALAM....


No comments:

Post a Comment