Pages

Total Pageviews

Friday 30 August 2013

BERPISAH JUA AKHIRNYA...

SELAMAT TINGGAL BUMI AMBIA

DAY 10 - SABTU (08/06/2013 = 29 REJAB 1434)

Assalamulaikum wbt...ikutilah catatan perjalanan Umrah saya untuk hari yang terakhir. Memang berat hati untuk meninggalkan Bumi Ambia, tapi apakan daya bertemu dan berpisah sudah menjadi resam di dunia ini...rela atau tidak ianya tetap berlaku.

          "Alhamdulillah...syukur kepadaMu Ya Allah kerana telah memakbulkan doaku dan memudahkan segala urusanku..." Aku dan hubby seperti biasa bersiap-siap ke masjid untuk solat subuh yang terakhir hari ini. Gembiranya hatiku hanya Allah sahaja yang mengetahui, aku bebas dari sebarang tanda yang meragukan. Aku boleh ke masjid hari ini untuk menunaikan solat dan dan yang paling penting aku boleh mengerjakan Tawaf Wada' sebelum bertolak pulang ke Tanah Air petang nanti.

            Aku dan hubby melangkah ke masjid pagi ini dengan 1001 perasaan yang bermain dalam hati. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Sampai di masjid kami melakukan tawaf sunat dan solat subuh seperti biasa. Selesai solat subuh, aku tidak terus balik ke hotel. Aku mencari sudut yang paling hampir dengan Ka'bah sementara menunggu hubby mengerjakan tawaf sunat. Aku duduk sambil memandang Ka'bah sepuas-puasnya dan berdoa apa sahaja yang terlintas dalam fikiranku. Aku memohon kepada Allah agar kunjungan ku ini bukan yang pertama dan terakhir. Semoga Allah menjemputku sebagai tetamuNya lagi pada masa akan datang. In sya Allah....

            Kami pulang ke hotel untuk bersarapan. Selepas sarapan kami perlu berkemas dan mengumpul semua beg-beg kami di lobi hotel sebelum waktu Zuhur. Hari ini makan tengah hari disediakan lebih awal sebelum semua jemaah ke Masjidil Haram untuk solat Zuhur dan mengerjakan Tawaf Wada'. Bas akan membawa kami ke Jeddah pada pukul 2.30 petang. Kami dijangka menunaikan solat Asar di masjid terapung di Laut Merah sebelum dibawa ke King Abdul Aziz International Airport. 

            Selepas siap mengemaskan segala barang-barang kami ke dalam beg, hubby mengikat semua beg-beg kami. Semua beg kami sendat dengan barang-barang. Sebab itulah semua beg perlu diikat dengan kemas supaya tidak pecah atau terburai nanti. Masa datang dulu, beg-beg kami tidaklah penuh dan padat kerana kami membawa barang ala kadar atau yang penting-penting sahaja. Disebabkan beg-beg yang kami bawa besar, jadi kami tidak perlu membeli beg tambahan seperti jemaah yang lain. Kami juga tidak membeli banyak barang selain jubah dan sedikit cederahati untuk sahabat-handai. Beg-beg kami berat disebabkan kurma dan kekacang yang dibeli di Madinah. 

             Jam 11.00 pagi kami turun ke lobi untuk memeriksa beg-beg kami yang telah dihantar tadi sebelum ke dewan makan untuk makan tengah hari. Sampai di lobi, aku dapati seluruh sudut telah dipenuhi dengan beg-beg jemaah yang akan pulang hari ini.Sungguh menakjubkan....Kami naik ke dewan makan untuk makan tengah hari sebelum ke masjid. 

          Sampai  di masjid, kami telah dihalang oleh pengawal di tangga untuk ke dataran Tawaf. Kami diminta terus ke ruang solat dan tidak dibenarkan turun ke dataran Tawaf. Aku dan hubby berjaya juga menyelit masuk di celah-celah jemaah lain. Walaupun berjaya, kami tidak dapat melakukan Tawaf sunat kerana waktu Zuhur sudah hampir. Aku terus ke ruang solat wanita dan hubby pula mencari ruang di dataran. Kami berjanji akan bertemu di tempat permulaan Tawaf setelah selesai solat Zuhur nanti. Alhamdulillah...kali ini aku dapat solat di ruang solat yang paling hampir dengan tangga untuk ke dataran tawaf. Solat zuhur hari ini adalah yang terakhir di Masjidil Haram sebelum kami berangkat ke Jeddah.
         Setelah selesai menunaikan solat zuhur, solat jenazah dan solat sunat, aku turun ke dataran Tawaf untuk melakukan Tawaf Wada' (Tawaf Selamat Tinggal). Sedikit maklumat tentang Tawaf Wada':
Pengertian
Tawaf Wada’ ialah Tawaf Selamat Tinggal yang wajib dilakukan bagi mereka yang hendak meninggalkan
Makkah lebih dari 2 marhalah (lebih kurang 56 batu atau 91 kilometer) dan lebih. 
Hukumnya adalah wajid. 
Jika uzur dikecualikan daripadaTawaf Wada’(tidak berdosa dan tidak kena dam)
 Perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada:
1.  Menunaikan Solat Sunat Tawaf
2.  Mengucup Hajarul Aswad (jika berkemampuan)
3.  Memegang Kaabah / Hijr Ismail / Maqam Ibrahim
4.  Minum Air Zamzam
5.  Berdoa
6.  Menunaikan solat sekiranya muazzin telah melaungkan iqamat (bagi kesorang bersesak sehingga tidak 
     dapat keluar dari Masjidil Haram atausebaik selesai Tawaf Wada’)
7   Makan dan minum dalam bilik sekadar keperluan sahaja
8.  Buang air kecil / besar dalam tandas bilik Bangunan Penginapan
9.  Melakukan perkara yang tiada hubungan langsung dengan musafir tetapi wajib dilakukan kerana hajat dan
     keperluan maslahah khusus /umum seperti mencari suami / isteri / keluarga / teman / yang hilang atau 
     barang  yang hilang dan juga ziarah pesakit (kes kecemasan sahaja)
10. Mandi dan tukar pakaian Membeli makanan dan minuman sekadar keperluan perjalanan  
11. Mengambil gambar dan bersedekah dalam tempoh menunggu bas

Perkara yang tidak boleh dilakukan selepas Tawaf Wada

1.  Membeli-belah (termasuk membeli makanan burung)
2.  Berehat, bersantai dan tidur dalam bilik
3.  Membayar hutang yang boleh ditangguhkan
4.  Mengambil gambar dalam Masjidil Haram atau ketika dalam perjalanan balik ke Bangunan Penginapan
     (termasuk mengambil gambar sendiri atau membantu orang lain atau meminta orang lain mengambil gambar)
5.  Melakukan perbuatan yang sengaja dan menampakkan maksud mencari-cari peminta sedekah walaupun
     sedekah itu nilai SR1.00
 
       Seperti yang telah dijanjikan, hubby menunggu aku di tempat permulaan Tawaf. Tanpa melengahkan masa kami terus memulakan Tawaf Wada'. Mataku tidak lepas dari memandang Ka'bah. Ketika itu, tidak dapat nak aku gambarkan perasaanku. Air mata tidak dapatku tahan dari mengalir keluar. Inilah air mata perpisahan...tidak sanggup rasanya untukku merelakan perpisahan ini. Langkah kakiku terasa berat, namun aku terpaksa juga meneruskan langkahku. Kesedihan ini tidak dapat aku sembunyikan lagi. Semakin hampir ke pusingan Tawaf yang terakhir, semakin lebat air mataku gugur. Esakan tangisku juga semakin kuat..."Ya Allah, sesungguhnya aku tidak sanggup untuk  meninggalkan Baitullah  Al haram ini..namun aku terpaksa juga melangkah pergi. Adakah aku masih diberi peluang dan kesempatan untuk menjadi tetamuMu lagi? Hanya Engkau Maha mengetahui segalanya...aku hanya mampu merancang dan Engkau yang menentukan segalanya... "

             Selesai mengerjakan Tawaf Wada' , kami buat kali terakhirnya menunaikan solat sunat Tawaf. Air mataku masih tidak berhenti mengalir. Doa terakhir yang aku panjatkan kepada Allah diiringi dengan sedu-sedan dan perasaan sedih yang teramat. Tidak pernah aku rasakan kesedihan seperti ini. Namun begitu aku kuatkan semangat dan aku tanamkan azam bahawa aku akan berkunjung lagi ke sini suatu hari nanti dengan izinNya In Sya Allah.....

Doa selepas solat sunat tawaf wada'

"Ya Allah, ya Tuhanku, Janganlah dijadikan tawaf dan ziarah hamba ini sebagai kali penghabisan di BaitullahMu. Jika sekiranya ditakdirkan menjadi kali akhir maka hamba pohonkan syurga sebagai gantinya dengan kemurahan Engkau ya Tuhan Yang Amat Pemurah lagi Penyayang".  


DOA TAWAF WADA (2)


1                  "YA ALLAH, karena taqdir MU dengan mudah aku berjumpa dengan KA’BAH MU, maka aku mohon YA ALLAH agar sebelum aku berpisah dengannya, ENGKAU ampunkan seluruh dosa-dosaku dan ENGKAU ridhokan aku.
2            YA ALLAH, janganlah ENGKAU jadikan perjumpaanku dengan KA’BAH MU kali yang terakhir. Taqdirkanlah agar aku dapat sampai di sini berulang-ulang kali. Dan jika seandainya ENGKAU tentukan bahwa perjumpaanku ini kali yang terakhir, aku memohon YA ALLAH agar ENGKAU jadikan syurga sebagai tempatku kembali.
                  YA ALLAH, mudahkanlah segala urusan perjalananku dan selamatkanlah aku. ENGKAULAH lah sahabat dalam perjalananku dan pelindung kepada keluarga dan harta yang aku tinggalkan. Peliharalah dan selamatkanlah mereka.
4           YA ALLAH, taqdirkanlah agar semua kaum kerabat,sanak saudara dan seluruh handai taulanku, baik yang sudah maupun yang belum untuk sampai kesini.
5            YA ALLAH, ramai antara hamba-hamba MU yang mengamanahkan kepadaku agar aku mendoakan untuk mereka. Tak sanggup YA ALLAH aku mengingati mereka satu persatu. Tetapi karena ENGKAU adalah TUHAN yang MAHA MENGETAHUI maka ENGKAU mengetahui siapa antara mereka itu dan ENGKAU pun tahu akan hajat-hajat mereka. Aku mohon YA ALLAH, semoga ENGKAU berikan semua hajat-hajat mereka yang ENGKAU ridhoi.
6           YA ALLAH, selesaikanlah semua persoalan berat yang ENGKAU amat mengetahui apa yang sedang kami hadapi.

AMIN YA RABBAL ALAMIN"

            Akhirnya, dengan langkah yang berat kami terpaksa juga meninggalkan Baitullah dan Masjidil Haram. Sampai di lobi hotel, kami dapati ramai jemaah telah berkumpul menunggu bas yang akan membawa kami ke Jeddah. Kami sempat juga naik ke bilik untuk memastikan tiada barang yang tertinggal.

         Tepat jam 2.30 petang kami meninggalkan Kota Mekah. Semua jemaah yang satu bas dengan kami kelihatan sugul dan sedih. Masing-masing melayan perasaan sedih yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Mutawif kami, Ustaz Hamdan sangat memahami perasaan kami. Untuk menghidupkan kembali suasana di dalam bas, beliau telah berkongsi berbagai pengalaman dan kisah-kisah menarik yang dialaminya sepanjang beliau menjadi Mutawif haji dan umrah. Kemudian, beliau meminta kami pula tampil ke hadapan untuk bercerita pengalaman pahit manis kami sepanjang masa kami mengerjakan umrah. Ramai jugalah jemaah yang tampil untuk berkongsi cerita. Sebenarnya aku juga teruja untuk berkongsi cerita, tetapi perasaan sebak dan sedihku belum dapat kuusir  dari dalam diriku. Biarlah aku tenangkan diriku terlebih dahulu.

            Menjelang waktu Asar, kami sampai di masjid terapung di pinggir Laut Merah. Kami diarahkan untuk berehat sebentar dan mengerjakan solat Asar. Selepas itu, kami makan bekalan yang dibawa dari hotel yang sebenarnya hidangan makan malam kami. Selepas itu kami berbual-bual sambil menikmati deruan ombak Laut Merah. Perasaan sedihku sudah dapat aku kawal. Aku gunakan kesempatan itu untuk berkongsi kisahku kepada rakan-rakan dan Ustaz Hamdan yang kebetulan ada pada masa itu. Ustaz Hamdan sangat tertarik dengan ceritaku. Beliau berkata, kisahku itu sepatutnya aku ceritakan dan kongsikan bersama rakan-rakan sewaktu dalam bas tadi. Kisah kehilangan cermin mataku di Masjidil Haram memang tak akan dapat aku lupakan.

              Kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah hampir jam waktu Maghrib.  Aku dapati airport di Jeddah ni sangat berbeza dengan KLIA dan juga SIA Johor. Airport di Tanah Air kita lebih moden dan sistematik. Untuk jemaah umrah dan haji, Terminal haji yang menguruskan kemasukan dan ketibaan para jemaah. Menurut ustaz Hamdan, pada musim haji bilangan jemaah yang ramai membuatkan keadaan di Terminal ini sesak dan padat. Para jemaah di tempatkan di bawah khemah berlantaikan pasir sahaja sementara menunggu giliran untuk menaiki bas. Pada masa ini, khemah-khemah tersebut kelihatan kosong dan lengang sahaja. Aku dapat bayangkan bagaimana ramainya manusia dalam musim haji. Sudah tentulah lebih besar dugaan dan cabaran yang akan ditempuhi. Bilalah agaknya tiba giliranku untuk merasai semua itu?

                  Sementara menunggu masa untuk check in bagasi, kami solat maghrib dan jamak isyak. Selepas itu sempat juga kami mengisi perut dengan makanan yang dibeli di kedai di terminal itu. Lama juga kami menunggu urusan bagasi kami kerana terdapat jemaah yang beg mereka terlebih timbangan. Alhamdulillah..akhirnya selesai juga urusan bagasi kami walaupun memakan masa yang agak lama. Selepas itu, barulah kami dibenarkan masuk ke balai berlepas. Di sini sekali lagi kami diperiksa seorang demi seorang paspot dan seluruh anggota badan kami. Jemaah wanita menjalani pemeriksaan di dalam sebuah bilik khas oleh pengawal/polis wanita. Dari balai berlepas ini, kami dibawa ke kapal terbanga dengan menaiki bas. Turun dari bas, terus menaiki tangga ke perut kapal terbang. Jemaah yang berkerusi roda terpaksa diangkat atau dikendong hingga ke pintu kapal terbang.

                 Kali ini kami bebas duduk di mana sahaja tidak mengikut nombor kerusi.  Disebabkan tidak mahu duduk di barisan tengah, aku dan hubby terpaksa berpisah. Kami mencari kerusi yang kosong di barisan tepi semua sudah dipenuhi. Akhirnya dapat juga kami tempat kosong betul-betul di sebelah dapur kabin. Hubby duduk di kerusi hadapanku mengadap kerusi krew / pramugari. Aku duduk di sebelah dua orang makcik dari Batu Pahat. Makcik yang berumur 70 tahun itu setiap tahun pergi umrah. Menurutnya tahun ini ialah kali ke 23 dia mengerjakan umrah. Subhanallah...untumgnya makcik ni...kata hatiku...Menurutnya, arwah suaminya seorang Mutawif. Sebab itulah dia boleh pergi umrah setiap tahun kerana mengikut suaminya. Setelah suaminya meninggal dunia, dia masih lagi meneruskan aktiviti tahunannya itu, mungkin sehingga dia tidak berdaya atau sakit barulah dia tidak pergi umrah lagi. Seronoknya...kalau aku dapat peluang macam makcik tu...

                    Setelah menikmati hidangan yang disediakan, semua jemaah yang keletihan tidur, begitu juga aku. Kali ini aku seolah-olah tidak dapat nak membuka mata. Masa pergi hari itu aku tidak dapat tidur tapi penerbangan balik ini berlaku sebaliknya pula. Aku terpaksa juga bangun untuk ke toilet. Masa ke toilet tu, aku lihat semua jemaah tidur dengan lena. Semuanya keletihan.

                    Dalam pada itu juga, aku dan penumpang yang lain dikejutkan oleh Kapten kapal kerana telah masuk waktu subuh. Kami semua diminta solat/menghormati watu subuh. Aku tak tahulah di mana kedudukan kami ketika itu kerana aku tidak dapat mencelikkan mata untuk melihat minitor di hadapanku. Aku benar-benar mengantuk...dan keletihan. Solat menghormati waktu pun tidak dapat dibuat dengan sempurna. Moga Allah mengampuni dosaku....


Masjid Terapung Laut Merah, Jeddah
 
 
Penjaja jagung bakar di tepi Laut Merah

sebahagian drp kumpulan 7 Tiram Travel.
Jemaah termuda (5 tahun)
seat bersebelahan dapur kabin
sedang melintasi kepulauan sumatera....hampir semenanjung..

DAY 11 - AHAD (09/06/2013 = 30 REJAB 1434)

                  Tepat jam 4.00 petang hari Ahad (9 Jun 2013 ) kapal terbang selamat mendarat di SIA (JB). Alhamdulillah...kami semua selamat sampai ke Tanah Air tercinta. Perasaan gembira kerana dapat kembali ke Tanah Air. Di Senai ramai saudara-mara jemaah sedang menunggu. Tergambar wajah gembira masing-masing. Abang Amin dan isterinya juga turut menunggu kami. Terima kasih kepada abang Amin sekeluarga kerana sudi menumpangkan kereta kami di rumahnya selama kami berada di Tanah Suci.

               Kami bertolak pulang pada pukul 5.00 petang. Sampai di rumah mak hampir jam 8.00 malam. Terlerailah rinduku akan anak bungsuku. Dia begitu gembira menyambut kepulanganku. Macam-macam yang ditanya.... Kami pulang ke rumah kami malam ini juga kerana esok hubby dan anak-anak akan bersekolah. Aku awal-awal lagi dah isi borang CRK. Tak larat rasanya nak kembali bertugas esok. Malam ini kami dapat tidur semula di rumah kami sendiri. Terlalu cepat masa berlalu..Segala rasa syukur kami panjatkan kepada Allah SWT kerana telah menerima kami sebagai tetamuNya dan mengizinkan kami kembali semula ke kediaman kami dengan selamat dan dapat bertemu kembali dengan keluarga yang dirindui. Segala kenangan manis sepanjang mengerjakan umrah tidak akan dapat dilupakan.



                  Berakhirlah catatan perjalanan umrah kami. Kami berharap semua pembaca blog kami ini mendapat iktibar dan sedikit panduan hasil daripada penulisan kami ini. In sya Allah...


                   

No comments:

Post a Comment