Pages

Total Pageviews

Monday 5 August 2013

UMRAH KE 4 & 5

ZIARAH HUDAIBIYAH

DAY 8 - KHAMIS (6/6/13 = 27 Rejab 1434H)

         Assalamualaikum wbt... Bertemu kembali setelah lama menyepi kerana kekangan masa. Hari ini ada sedikit kelapangan waktu untuk menyambung kisah di Tanah Suci. Diharapkan semua follower akan terus melapangkan waktu untuk mengikuti kisah kami ini.

       Seperti biasa aku dan hubby bangun pagi ini dan bersiap-siap ke masjid untuk solat subuh. Sampai di masjid, kami terus melakukan Tawaf sunat. Pagi ini jemaah semakin ramai. Hari ini 27 Rejab adalah hari   cuti umum bagi negara-negara arab sempena menyambut hari Israq Miqraj. Kebanyakan penduduk tanah arab mengambil kesempatan datang bercuti ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.

          Disebabkan jemaah semakin ramai mengerjakan Tawaf, aku dan hubby menukar strategi kami. Biasanya aku berjalan di belakang sebelah kiri hubby sambil tangan kanan ku memegang beg atau kain ihram hubby. Tapi hari ini, aku berjalan di hadapan hubby sambil tangan hubby memegang bahuku. Cara ini dapat mengelakkan aku dirempuh oleh jemaah yang berbadan besar atau dilanggar oleh jemaah yang berkerusi roda. Tumit ku beberapa kali dilanggar kerusi roda, sakitnya hanya Allah yang tahu. Aku terpaksa menahan rasa sakit dan mengawal perasaan...hubby sentiasa mengingatkan aku supaya bersabar. Aku hanya mampu beristighfar dan memohon semoga Allah memudahkan segala urusanku.
Beginilah keadaan di dataran Tawaf sebelum dan selepas solat subuh.

     
            Selesai mengerjakan Tawaf sunat, aku beredar ke ruang solat wanita. Hubby pula masih di dataran tawaf untuk mendapatkan saf pertama. Alhamdulillah... selesai solat subuh, aku seperti biasa duduk mengadap Ka'bah sambil berdoa sementara menunggu hubby mengerjakan Tawaf sunat. Selepas itu, kami terus balik ke hotel untuk bersarapan.

          Semasa sarapan, aku dan hubby mendengar cerita rakan-rakan tentang pengalaman masing-masing mengucup Hajarul Aswad. Cerita mereka membuatkan hubby semakin teruja untuk mengucup Hajarul Aswad. Aku minta hubby melakukan solat hajad dan berdoa banyak-banyak kepada Allah semoga disempurnakan segala hajad In sya Allah...

           Kami balik ke bilik untuk berehat kerana kami akan mengerjakan umrah yang ke 4 nanti. Pukul 10 pagi kami keluar untuk bermiqat. Seperti semalam, kami menaiki teksi ke Tana'im. Selesai bermiqat kami terus ke Masjidil Haram. Aku rasa cuaca hari ini lebih panas daripada semalam. Sampai di pintu King Abdul Aziz aku melihat ke skrin digital, suhu 45 darjah celcius. Patutlah terasa sangat panas. "Ya Allah...berilah kekuatan kepadaku untuk menyempurnakan umrahku kali ini."

               Sampai di dataran Tawaf, aku lihat jemaah sudah ramai. Sungguh berbeza dengan hari-hari sebelum ini. Matahari terik di atas kepala. Semasa memulakan pusingan yang pertama, aku lihat seorang jemaah wanita pengsan di belakang maqam Nabi Ibrahim. Mungkin kerana terlalu panas dan keadaan yang terlalu padat dan sesak. Kali ini aku rasa macam tak bergerak, kedudukan kami sangat rapat dan berhimpit-himpit. Pergerakan kami sangat perlahan. Baru kali ini aku dapat rasakan peluhku mengalir kerana terlalu panas ditambah pula dengan keadaan yang berhimpit-himpit. Disebabkan itu juga, kaunter zikir digital ku yang terselit dijari ku turut jatuh. Apa boleh buat redha ajelah...

            Alhamdulillah...setelah melebihi satu jam, akhirnya kami dapat juga menyelesaikan Tawaf. Kami menuju ke Safa untuk memulakan Saie. Di sini juga jemaah ramai daripada biasa. Kali ini aku rasa kekuatanku berbeza daripada semalam walaupun baru selesai mengerjakan Tawaf dalam cuaca yang panas terik. Aku tak rasa penat dan kakiku juga tak terasa sakit. Aku dapat melangkah selaju hubby dan tidak tertinggal jauh dengannya. Bila kami terasa penat, kami singgah di paip zam zam untuk minum dan menjiruskan air zam zam di kepala dan kaki. (aku hanya menjirus air zam zam di kepala, hubby menjirus di kepala dan kaki).  Telekung yang basah di kepala akan kering dengan sendirinya. Segala keletihan akan hilang setelah minum air zam zam. Memang betullah..air zam zam adalah penawar segala penyakit dengan izinNya.
http://fitrihadi.com/2012/07/fakta-keajaiban-mukjizat-telaga-air-zamzam-mekah/   

             Semasa mengerjakan Saie, kami lihat ramai pekerja-pekerja binaan berehat dan tidur  di bahagian tepi ruang Saie sementara menunggu waktu zuhur. Mungkin ramai antara mereka yang keletihan kerana berpuasa sunat sempena hari Israq Miqraj. Kami melihat jam di dinding telah menunjukkan pukul 12 tengah hari. Tidak lama lagi azan Zuhur akan berkumandang. Ini bermakna kami tidak dapat menyelesaikan Saie sebelum waktu zuhur. Hanya satu pusingan sahaja lagi untuk kami menghabiskannya. Kami terpaksa berhenti untuk menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu. Selesai sahaja azan Zuhur, kami terus mengambil wuduk menggunakan air zam zam. Ramai jemaah yang berbuat demikian. Kami bersolat Zuhur di tempat Saie bersama jemaah lain. Inilah pertama kali kami bersolat bukan di ruang solat di dalam masjid. Bersolat di ruang Saie sama seperti kita bersolat di dataran masjid kerana kawasan Saie tidak dikira sebagai kawasan dalam masjid.

           Selesai sahaja solat Zuhur, kami meneruskan Saie untuk pusingan yang terakhir. Setelah selesai bertahlul, kami terus pulang ke hotel untuk makan tengah hari. Kami tidak boleh berlengah kerana petang nanti kami akan mengikuti ziarah luar ke Hudaibiyah. Sampai di hotel, kami terus ke dewan makan. Tapi makanan sudah habis hanya tinggal buah dan air sahaja. Di satu sudut kami lihat ada satu lagi buffet yang disediakan, rupanya untuk jemaah dari India yang menginap di hotel yang sama. Mereka sampai pagi tadi. Aku dan hubby turun semula untuk membeli makanan di kedai. Kami hanya membeli roti dan kek. Cukuplah untuk  mengalas perut.

 
 
 
Melalui bawah lampu hijau di mana jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak.


             Kami berehat di bilik sementara menunggu solat Asar. Kami bersolat di bilik kerana kami kesuntukan masa. Tepat jam 4.30 p.m kami menaiki bas ke Hudaibiyah untuk ziarah luar dan bermiqat. Kali ini kami diminta memakai ihram terus dari bilik hotel. Ini adalah umrah ketiga kepada jemaah yang tidak melakukan secara sendirian dan umrah ke lima kami. Dalam perjalanan, ustaz Hamdan meminta kami menceritakan pengalaman kami selama empat hari di Mekah. Tujuannya untuk berkongsi cerita suka duka atau pengalaman indah kerana dapat mengucup Hajarul Aswad. Mendengar pengalaman jemaah yang dapat mengucup Hajarul Aswad menyebabkan hubby semakin teruja. Dia berbisik kepadaku yang dia akan melakukanya esok In sya Allah. Semakin kuat semangatnya..aku hanya memberi sokongan dan berdoa agar hajatnya kesampaian.

             Kami singgah di ladang unta untuk melihat unta dengan lebih dekat dan merasai minum susu unta yang fresh. Pengalaman di ladang unta sungguh istimewa. Selain dapat melihat orang Badwi memerah susu unta, kami dapat bergambar dengan unta-unta yang jinak dan sporting. Unta-unta itu seolah-olah memahami arahan kami dan sangat suka difotografikan. Hubby kata susu unta pun sangat lazat, tak sama macam susu lembu. Walau bagaimanapun aku tetap tak sanggup nak minum. Menurut kata Badwi yang menjual susu unta itu, susu unta boleh disapu pada muka untuk menghilangkan jerawat. Terasa pulak aku bila dia berkata macam itu sambil membuat contoh muka aku yang ada dua tiga biji jerawat  batu yang baru muncul sehari dua ni. Aku pun ambillah sedikit susu unta itu dan terus menyapu pada jerawat ku itu. Terasa sejuk je bila susu itu kena ke muka ku.

          Selepas singgah di ladang unta, kami terus ke masjid di Hudaibiyah untuk berniat ihram. Selepas ini kami harus mejaga pantang larang dalam ihram sehingga selesai mengerjakan umrah. Sampai di Masjid Hudaibiyah aku dan jemaah lain mengambil wuduk untuk solat sunat ihram. Masa ini tidak ramai jemaah selain daripada rombongan kami. Mungkin jemaah negara lain memilih waktu lain. Setelah selesai menunaikan solat sunat ihram dan berniat ihram, kami terus diminta naik ke dalam bas dengan segera. Sebelum itu sempat juga kami membeli belah daripada penjaja di sekitar kawasan masjid. Aku membeli 'buah zuriat' (dikenali juga sebagai buah Adam dan Hawa) untuk anak buah hubby yang memesannya. Buah ini kalau di hotel terlalu mahal harganya SR10 sebiji. Tapi di sini kami boleh dapat 3 atau 4 biji SR10.  Buah Zuriat ini khasiatnya adalah sebagai ubat untuk kesuburan. Kepada pasangan yang tidak mendapat zuriat setelah lama berkahwin, akan berjaya hamil setelah makan buah ini dengan izin Allah.

             Kami sampai di hotel hampir pukul 8 malam. Setelah solat maghrib dan Isyak di bilik hotel, kami makan malam dahulu sebelum ke masjid untuk mengerjakan Tawaf dan Saie. Malam ini jemaah semakin ramai. Seperti siang tadi, perjalanan Tawaf kami sangat perlahan. Cuma bezanya siang tadi panas dan malam ni pula sejuk sedikit. Alhamdulillah....akhirnya kami dapat menyelesaikan umrah ke lima kami tanpa sebarang halangan.

              Balik ke hotel dengan perasaan yang gembira dan penuh kesyukuran kerana hari ini kami dapat melakukan dua kali umrah tanpa halangan dan cabaran yang besar. Target kami untuk melakukan 7 kali umrah, hampir terlaksana. In sya Allah...jika tiada halangan kami akan melakukannya lagi pada hari esok.


      



No comments:

Post a Comment