Pages

Total Pageviews

Sunday 7 July 2013

ZIARAH TERAKHIR??

SELAMAT TINGGAL MADINAH

DAY 5 - 3 JUN 2013 (ISNIN)

          Subuh ini adalah yang terakhir untuk group kami (Tiram  Travel) bersolat di Masjid Nabawi. Bagi jemaah wanita, kami diminta membuat ziarah Wida' (ziarah selamat tinggal) selepas solat subuh. Sekiranya kami tidak dapat ke Raudhah, cukuplah hanya ziarah dari luar masjid sahaja. Sebenarnya aku memang teringin sangat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah SAW dan para sahabat baginda di Raudhah. Tapi apakan daya, kami tidak berpeluang untuk ke Raudhah lagi pagi ini. Kunjungan kami selepas Zuhur semalam adalah kunjungan yang terakhir. 

          Aku dan kak Bib melangkah keluar dari masjid selepas solat subuh untuk membuat ziarah Wida' bertemankan abang Din suami kak Bib. Abang Din hanya menemani kami hingga ke perkarangan perkuburan Baqi' kerana dia nak masuk semula ke masjid untuk ziarah ke makam Rasulullah. Sebelum itu sempat juga kami mengambil gambar bersama.
Kak Bib dan abang Din. Pasangan bahagia yang paling rapat denganku sejak kami sampai di Madinah.
Aku dan kak Bib. Dari kawasan inilah kami mengucapkan selamat  tinggal kepada Rasulullah dan sahabat baginda.
Doa Ziarah Wida'
         "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarahku ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir. Kurniakan bagiku kepadanya ziarah untuk kesekalian kalinya dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan. Jika aku mampu, Insya Allah aku datang lagi. Jika aku mati, kutitipkan pada sisiMu syahadah (kesaksianku, amanahku, perjanjianku, timbanganku) pada hari itu untuk kiamat. Dengan ini kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagiNya. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu hambaNya lagi utusanNya. Maha suci Tuhan yang mulia daripada apa-apa yang mereka sifatkan. Salam untuk sekalian utusan (Rasul-rasul) dan segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam."

             Selepas itu aku dan kak Bib mengelilingi perkarangan masjid untuk kali terakhir. Kami menikmati keindahan setiap sudut di bahagian luar masjid sambil melihat gelagat manusia yang pelbagai. Aku juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar menggunakan GS4 ku. Walaupun tak secantik gambar yang diambil menggunakan DSLR, cukuplah untuk aku tatap di kala merindui masjid Nabawi ini nanti.
gelagat kanak-kanak di dataran masjid Nabawi.
              Hampir habis satu pusingan kami berjalan. Jam hampir ke pukul 5.00 pagi. Tiba-tiba aku mendengar seperti satu desiran dari atas kepalaku. Apabila aku mendongak ke atas, "Masya Allah... sesuatu yang sangat menakjubkan...payung-payung sedang terbuka dengan perlahan menandakan hari telah semakin cerah. Aku segera merakamkan detik-detik indah itu kerana sudah lama aku nantikannya sejak aku sampai ke sini lagi. Hari terakhir barulah aku dapat menyaksikannya sendiri.


                                         
                                          
       
   
        Balik ke hotel terus bersarapan. Selepas itu, aku dan hubby mula mengemas beg untuk aberangkat ke Mekah pukul 2 petang nanti. Nampaknya beg kami bertambah kepadatannya...tapi masih muat lagi. Bukannya banyak sangat barang yang kami beli, tapi beg kami berat dengan kurma dan kekacang. Semalam kami nampak ramai rakan yang membeli beg baru kerana isi beg masing-masing sudah bertambah.

               Setelah selesai mengemas, hubby menghantar beg besar kami ke lobi terlebih dahulu. Beg kecil kami akan bawa kemudian. Sementara menunggu waktu zuhur, aku menonton rancangan live dari Masjidil Haram Mekah (I-Quran). Hanya channel ini sahajalah yang aku tonton sepanjang berada di hotel ini. Channel ini menyiarkan aktiviti tawaf dan saie juga bacaan Quran. Nak tonton channel lain aku tak faham. Entah bila aku tertidur, aku pun tak tahu...Apabila aku tersedar, jam dah menunjukkan pukul 11.00 pagi. Aku pun terus bersiap ke masjid untuk solat zuhur. Ini adalah solat zuhur yang terakhir di masjid Nabawi. Selesai solat Zuhur berjemaah, aku menunaikan solat jamak Asar kerana kami hanya akan singgah untuk bersolat maghrib sahaja nanti. 

                 Setelah selesai semuanya, aku dan hubby dan jemaah dalam kumpulan kami meninggalkan masjid Nabawi dengan perasaan sayu. Tak tahulah bila lagi kami akan dapat datang semula ke sini. Hanya Allah maha mengetahui segalanya.... Kami segera pulang ke hotel untuk makan tengah hari. Kami diminta berkumpul di lobi jam 2.00 petang. Hanya 1 jam je masa untuk kami makan dan bersiap. Kami mandi sunat ihram dan bersiap terus dengan pakaian ihram. Inilah pertama kali hubby memakai ihram. Dia kelihatan berbeza dari biasa. Rasa tak sabar pula nak mengerjakan umrah.

                Hampir jam 2 petang bas-bas yang akan membawa kami pun sampai. Kami segera turun ke lobi. Banyaknya beg...hingga melimpah ruah hingga ke luar lobi....Setelah selesai memasukkan beg ke perut bas, kami pun bertolak meninggalkan hotel dan Kota Madinah. Hati rasa sayu tak terkata...semuanya menyepi melayan perasaan. Masjid Nabawi semakin jauh dari pandangan. Selamat tinggal Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan keluarga Rasulullah...selamat tinggal kota Madinah Al Munawarah...Insya Allah...kami akan datang lagi...



                Tamatlah kisahku di Madinah...selepas ini aku akan meneruskan lagi ceritaku bermula dengan bermiqat di Bir Ali. Insya Allah....jumpa lagi...

*kepada pembaca yang akan mengerjakan Umrah/Haji jika inginkan maklumat lanjut tentang Masjid Nabwi di sini saya sertakan link untuk memudahkan pembaca. "Sharing is caring"

http://panduanpercuma.info/tahukah/5956/sejarah-masjid-nabawi-dan-kubur-nabi-s-a-w/ 

http://chromosome.wordpress.com/2012/11/12/layout-masjid-nabawi-makam-raudah-mimbar-sejarah-tiang-masjid-rumah-para-sahabat/ 


  

No comments:

Post a Comment