Pages

Total Pageviews

Wednesday 10 July 2013

MISTERI KEHILANGAN..

AKU DAN KACA MATA

TAWAF DAN SA'IE (UMRAH 1)

              Aku dan hubby telah bersedia untuk menunaikan rukun umrah yang seterusnya iaitu Tawaf, Sa'ie dan bertahlul. Kami akan menjejakkan kaki buat pertama kalinya di Masjidil Haram. Sebelum turun ke lobi, aku telah meminta ampun dan maaf daripada hubby atas segala kesalahan yang pernah aku lakukan selama ini. Aku tidak mahu masuk ke Masjidil Haram sebagai seorang isteri yang memikul beban dosa terhadap suami. Aku juga meminta hubby dapat bersabar dengan kerenahku sepanjang berada di Tanah Suci ini. Apa yang penting, dia sentiasa melindungiku dan kami sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain. Banyak cerita yang aku dengar bahawa pasangan suami isteri bergaduh dan bermasam muka sepanjang berada di Tanah Suci sedangkan sebelum itu hidup bahagia. "Na'uzubillahiminzaliq..."  Aku tidak mahu perkara seperti itu terjadi kepada diriku. 
         
           Tepat jam 11.30 malam, seperti yang dijanjikan kami berkumpul di lobi hotel. Ustaz Hamdan mengetuai kumpulan kami memulakan perjalanan ke Masjidil Haram. Walau pun waktu dah hampir ke tengah malam, tapi jemaah masih ramai menuju ke Masjidil Haram. Begitu juga yang berjalan pulang dari masjid ke hotel, bertali arus.. Semakin menghampiri masjid, hati semakin berdebar. Cuaca di Mekah aku rasakan lebih panas dari Madinah. Sampai sahaja di dataran Masjidil Haram, Ustaz Hamdan memberi panduan kepada kami arah hotel dari Masjidil Haram supaya mudah untuk kami pulang ke hotel. Walau pun nampak dekat, tapi ramai juga jemaah yang sesat tidak dapat mencari jalan untuk pulang ke hotel. Kami mengadap pintu atau King Abdul Aziz Gate, di sebelah kiri kami bangunan Manara As Safwa (Clock Tower) manakala jalan ke hotel kami di sebelah kanan. Di sinilah pintu utama untuk kami keluar dan masuk ke Masjidil Haram. 

          Sebenarnya tidak susah untuk mengingati arah hotel kami. Tetapi di Tanah Suci apa sahaja boleh berlaku...yang mudah menjadi sukar, yang sukar pula menjadi mudah. Semuanya rahsia Allah...segala yang berlaku dengan kehendakNya. Sebagai hamba kita tidak boleh bersikap takbur dan sombong. Terimalah segala yang berlaku sebagai satu ujian daripadaNya. Nilai kesabaran sangat tinggi dalam mengerjakan ibadah umrah dan haji. Jangan putus berdoa dan memohon kepadaNya jika berlaku sebarang kesulitan. Sesungguhnya doa kita di Tanah Suci ini sangat makbul. Apa yang kita minta itulah yang kita dapat, begitu juga sebaliknya. 

           Ustaz Hamdan meminta kami berselawat dan berdoa sementara beliau pergi meninjau keadaan Masjidil Haram yang telah banyak mengalami perubahan kerana sedang dalam proses pembesaran. Kami menunggu sambil membaca doa-doa di dalam buku doa yang dibekalkan. Tidak lama kemudian Ustaz Hamdan kembali kepada kami menerangkan kedudukan Bukit Safar dan Bukit Marwah. Terdapat sedikit perubahan laluan untuk Sa'ie kerana laluan asal telah ditutup buat sementara waktu. (Aku akan ceritakan tentang laluan Sa'ie kemudian nanti). Beliau juga menunjukkan arah tandas dan tempat berwuduk sebelum kami meneruskan perjalanan masuk ke Masjidil Haram. 

           Hubby telah beberapa kali mengingatkan aku supaya tidak menyentuh bahu kanannya yang terbuka. Entah macam mana, tanpa disedari aku telah tersentuh juga bahunya dengan tanganku. Maka terbatallah wuduk kami. Aku minta maaf dengan hubby..rasa macam nak menangis pun ada. Tak tahulah dalam hatinya marah ke tidak....Ahli kumpulan kami kini betul-betul berada di hadapan King Abdul Aziz Gate. Mereka sedang membaca doa masuk masjid. Macam mana dgn kami??? Kami terpaksalah mengangkat wuduk semula..Kami terpaksa melepaskan kumpulan kami masuk terlebih dahulu. Kami berpatah balik ke dataran masjid untuk mencari tempat berwuduk. Tidak sukar bagi hubby kerana tempat wuduk lelaki tak jauh dan dia tak perlu nak menjaga aurat seperti aku. Dengan hati yang berdebar-debar aku melilau mencari tempat wuduk wanita. Malangnya telah ditutup kerana sedang dibaikpulih. Aku terpaksa mencari toilet...

             Dalam hati terfikir juga, kalau ke toilet tentu mengambil masa yang lama sebab terpaksa turun ke bawah (basement) macam di Masjid Nabawi. Akhirnya aku mengambil keputusan tidak turun ke toilet. Aku kembali semula ke tempat wuduk lelaki. Hubby menunggu aku di situ. Aku memberitahunya masalah aku itu. Aku kata padanya yang aku nak berwuduk menggunakan air zam zam. Dia juga terfikir begitu..lantas kami segera menuju ke paip air zam zam yang disediakan di dataran masjid untuk para jemaah minum. Masalahnya macam mana nak buka telekung di tengah-tengah laluan orang ramai itu? Caranya...aku tak buka pun telekung..dengan bantuan hubby, dapat juga aku berwuduk di situ. Hubby membantu menjiruskan air yang ditadah menggunakan bekas minuman yang disediakan di situ. Untuk bahagian muka dan kepala, aku basahkan terus dari luar telekung...bermakna basahlah telukung yang aku pakai itu. Tidak mengapa, yang penting air mengenai ke seluruh bahagian muka dan kepala. Bahagian kaki juga tidak sukar kerana aku memakai stoking wuduk. Stoking itu tidak perlu dibuka, cuma tarik sahaja ke atas. Basah sedikit tidak mengapa, kerana udara ketika itu sangat panas. Suhu yang dipaparkan pada skrin digital berhampiran pintu masuk malam itu menunjukkan 40 darjah celcius.

               Alhamdulillah...selesailah masalah wuduk aku dan hubby. Kami membaca doa masuk ke masjid bersama-sama. Sebelum melangkah ke dalam masjid, hubby meletakkan beg kasut kami di rak kasut di sudut sebelah kanan pintu masuk. Melangkah sahaja ke dalam masjid, mataku terus tertumpu ke arah Ka'abah. Alhamdulillah...aku nampak Ka'bah..aku terus membaca doa melihat Ka'bah. Aku telah mendengar cerita daripada Ustaz Hamdan sebelum ini bahawa ada jemaah yang tidak nampak Ka'bah walaupun telah hampir dengan Ka'bah. Setelah menunaikan solat Taubat, barulah mereka nampak Ka'bah. Na'uzubillah...janganlah perkara seperti itu terjadi kepada kita semua... 
    
            Apabila aku dan hubby turun ke dataran Tawaf, kami lihat kumpulan kami masih belum mengerjakan Tawaf. Ustaz Hamdan masih belum selesai memberi penerangan. Kami dah terlepas untuk mendengar penerangan beliau. Aku berdoa di dalam hati agar ibadah Tawaf kami dipermudahkan. Sebelum ini pun kami telah menjalani kursus praktikal Tawaf, jadi gambaran awal telah kami perolehi. Moga segalanya berjalan lancar.

              Aku dan hubby berdiri menghadap Ka'bah di antara Rukun Yamani dan Rukun Hajarul Aswad. Waktu itu tidak dapat untuk aku gambarkan perasaanku...sebak rasanya kerana aku kini betul-betul di hadapan Ka'bah..bukan mimpi atau angan-angan. Selepas itu kami menuju ke tempat permulaan Tawaf betul-betul di Rukun Hajarul Aswad untuk berniat tawaf umrah. Lampu hijau yang dipasang pada dinding bertentangan adalah sebagai penanda Rukun Hajarul Aswad bagi memudahkan jemaah memulakan dan mengakhiri tawaf. Setelah berniat dan beristilam, kami pun memulakan pusingan tawaf yang pertama.

             Aku berdiri di belakang sebelah kiri hubby sambil memegang beg sandangnya agar tidak terpisah dengannya. Aku mengeluarkan buku doa dari dalam beg sandangku untuk membaca doa tawaf pusingan pertama. Sebaik sahaja buku doa ku buka, pandangan ku menjadi kabur. Rupanyanya aku tidak memakai cermin mata. Barulah aku sedar yang aku telah menanggalkan cermin mataku semasa hendak berwuduk tadi. Tapi persoalannya di mana aku letak cermin mataku itu? Aku tanya hubby, tapi dia pun tak tahu dan tak ingat di mana aku letak cermin mata itu tadi. Hubby berkata padaku.."lupakan dahulu pasal cermin mata tu, lakukan perkara yang penting ini dahulu. Jangan fikir-fikir lagi...ikut je doa yang abang baca."
Air mataku hampir menitis tapi aku tahan semampu yang boleh. "Ya Allah, adakah ini ujian untukku ketika aku sedang melakukan umrah wajib ini? Ya Allah, aku redha atas apa yang berlaku ini..ampunkanlah aku jika aku terlalai sebentar tadi. Janganlah Engkau alihkan tumpuanku kepada yang lain selain menunaikan ibadah ini." Begitulah antara doa yang aku baca dalam hati.

          Aku dan hubby meneruskan tawaf sehinggalah pusingan yang terakhir. Sepanjang melakukan tawaf, tiada kesulitan yang berlaku kerana malam itu bilangan jemaah tidaklah terlalu ramai. Tapi hatiku masih sebak..sepanjang melakukan tawaf aku tidak dapat menahan air mataku dari mengalir. Aku bukan sedih kerana kehilangan cermin mata tapi aku masih tidak percaya yang aku sudah berada di tempat yang aku impi-impikan selama ini. Aku juga berasa terharu melihat kesungguhan hubby membaca doa dalam kedua-dua bahasa, arab dan melayu. Setiap kali hubby membaca doa pusingan tawaf dalam bahasa melayu, air mataku mengalir kerana menghayati dan memahami setiap patah perkataan yang diucapkan. Walaupun  kadang-kadang terganggu juga oleh bacaan doa yang terlalu kuat daripada ketua kumpulan jemaah dari negara-negara lain. Aku perhatikan ketua-ketua kumpulan atau ketua keluarga membaca doa pusingan tawaf dengan kuat sambil diikuti oleh ahli kumpulan mereka. Nampak macam meriah gitu...

             Setelah selesai melakukan tawaf, aku dan hubby mencari ruang untuk menunaikan solat sunat tawaf di belakang Maqam Nabi Ibrahim. Walaupun tidak dapat solat di tempat yang paling hampir, kami dapat juga ruang yang tidak terlalu jauh dengan Maqam Ibrahim. Selesai sahaja solat sunat tawaf, aku terus mengajak hubby melakukan solat sunat hajat dua rakaat meminta Allah menemukan kembali cermin mataku yang hilang tadi. Selepas itu aku berdoa sungguh-sungguh kepada Allah seolah-olah mengadu kepadaNya yang aku sangat memerlukan cermin mataku itu. Jika tidak memakai cermin mata, aku memang tidak boleh membaca al Quran atau apa sahaja tulisan kerana aku rabun jauh dan rabun dekat. Sebenarnya cermin mataku itu baru sahaja aku buat di Focus Point Kuantan untuk menggantikan cermin mata lamaku yang sudah kabur.  Harganya pun agak mahal juga kerana fungsi cerminnya 3 in 1. Tapi kalau sudah ditakdirkan bukan rezeki aku, nak buat macam mana...aku redha ajelah.

           Setelah selesai menunaikan solat hajat dan berdoa, hubby terus mengajak aku keluar ke dataran masjid tempat aku berwuduk tadi untuk mencari cermin mataku. Manalah tahu kalau-kalau aku tertinggal di atas tempat paip air zam zam itu tadi. Aku pun segera melangkah mengikut hubby. Baru sahaja setapak kakiku melangkah, aku terpegang jaring poket beg sandang hubby. "Subhanallah...sesungguhnya Engkau Maha mendengar dan Maha memakbulkan doa hambaMu...rasanya aku seperti mahu menjerit untuk mengucapkan syukur kepadaNya. Apa yang aku pegang itu adalah cermin mataku. "abang.." Aku memanggil hubby yang sedikit kehadapan dariku sambil menunjukkan cermin mata yang aku pegang. Rupanya cermin mata ku ada dalam jaring poket beg sandangnya. Hubby pun terkedu seketika kerana langsung tidak menyangka cermin mataku ada di dalam begnya. "Alhamdulillah.." Aku tersenyum sambil mengucapkan syukur kepadaNya. 

               Ketika itu aku rasakan bagaikan terlalu dekat dengan Allah. Betul lah apa yang aku dengar selama ini, apa yang dikatakan oleh mereka yang sudah ke Tanah Suci bahawa doa kita di Baitullah sangat mustajab. Apa yang kita minta denganNya akan ditunaikan segera dengan izinNya. Aku menjadi insaf dan bertambah yakin yang doaku didengar olehNya. Dia hilangkan seketika cermin mata ku supaya aku meminta dan memohon pertolongan daripadaNya. Sesungguhnya Allah amat suka jika kita meminta-minta daripadaNya. Semakin banyak kita meminta, semakin hampir kita kepadaNya.

            Peristiwa kehilangan cermin mata sangat memberi kesan kepadaku. Puas aku mengingat kembali adakah aku yang meletakkan cermin mata itu dalam beg hubby atau hubby yang meletakkannya. Mengapa kami langsung tak boleh ingat tadi. Persoalan ke dua kenapa sepanjang masa tawaf tadi aku langsung tak terpegang   cermin mata aku itu sedangkan tanganku memang tak lepas dari beg itu? Hanya Dia yang mengetahui segalanya...aku cuma dapat meneka bahawa Dia meminta kami berdoa kepadaNya atau seribu kemungkinan yang lain. Aku menganggap semua itu ujian Allah kepada ku selepas ujian kedatangan haid pada hari pertama sampai ke Madinah tempoh hari. Adakah ujian lain selepas ini? Moga tiada ujian yang lebih berat daripada ini.

                 Sambung semula cerita umrah pertama aku yang seterusnya. Disebabkan cermin mata ku telah ditemui, kami tak jadi keluar ke dataran masjid. Kami terus menuju ke laluan untuk melakukan Sa'ie. Sebelum itu kami  berhenti sekejap untuk minum air zam zam. Minum air zam zam selepas solat sunat tawaf hukumnya sunat. Jadi kami tidak melepaskan peluang itu. Sejak sampai di Madinah lagi, aku rasa air zam zam sungguh enak terutama yang sejuk. Bila terasa haus aje, aku terus minum air zam zam yang sentiasa ada dalam beg sandang aku. Jika terlupa membawa botol air, aku minum terus di tempat air zam zam disediakan.

                Sebenarnya, aku dan hubby telah terpisah dengan kumpulan kami dan Ustaz Hamdan. Kami mengikut kumpulan lain yang diketuai oleh Ustaz Sani (kalu aku tak silaplah). Untuk ke tempat Sa'ie, kami terpaksa naik ke tingkat satu atau tingkat dua. Tempat Sa'ie di tingkat paling bawah telah ditutup kerana projek pembesaran Masjidil Haram. Kami naik ketingkat paling atas menggunakan ascalator. Entah di manalah kumpulan kami, kami lansung tidak bertemu. Untuk pengetahuan pembaca, Sa'ie bermula di Bukit Safa, tapi disebabkan projek pembesaran Masjidil Haram. kita terpaksa ke Marwah terlebih dahulu. Kemudia berjalan ke Bukit Safa untuk memulakan Sa'ie. Setelah habis 7 kali ulang alik, kita akan tamat di bukit Marwah. Selepas bertahlul maka selesailah umrah wajib kami. Untuk keluar dari tempat Sa'ie, kami terpaksa berpatah balik ke Safa. Dari Safa kami masuk semula ke ruang solat di tingkat atas. Kemudian barulah boleh keluar dari masjid. Ini bermakna jemaah terpaksa berulang alik sebanyak 9 kali. (7 + 2). Inilah cabaran yang terpaksa dilalui oleh semua jemaah, berjalan sejauh lebih 5 km.

               Alhamdulillah...jam 2.30 pagi, aku dan hubby selesai menyempurnakan umrah wajib kami. Kami mengambil keputusan untuk terus menunggu solat subuh. Aku dan hubby berjanji akan bertemu semula di pintu masuk mula-mula tadi selepas solat subuh nanti. Kami berpisah untuk ke ruang solat masing-masing. Aku ke ruang solat wanita di tingkat bawah sebelah kanan. Aku mencari ruang solat yang paling hampir dengan Ka'bah. Tidak puas rasanya melihat Ka'bah. Sementara menunggu waktu subuh, aku menunaikan solat sunat hajat dan solat sunat taubat. Selepas itu duduk mengadap Ka'bah sambil memanjatkan doa kepada Allah. Berbagai doa yang aku panjat pohonkan. Semoga semuanya dimakbulkan. In sya Allah...

             "Tiada gambar yang aku selitkan dalam kisahku kali ini kerana aku tidak membawa kamera atau handphone semasa melakukan umrah wajib kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada umrahku. Begitu juga dengan hubby ku. Hingga berjumpa lagi selepas ini dalam kisahku yang selanjutnya. Wassalam..."



                    

          

No comments:

Post a Comment