Pages

Total Pageviews

Wednesday 11 December 2013

KEPULANGAN

KELANTAN YANG DIRINDUI


7 - 8 Zulhijjah 1434


Assalamualaikum wbt...
Sudah lama rasanya tidak meluangkan masa mencoret sesuatu di ruangan ini... 
Coretan kali ini tentang sambutan aidil adha kami sekeluarga tahun ini. Tiada apa yang menarik sebenarnya tapi sebagai kenangan bersama.

             Tahun ini aidil adha (hari raya kurban) disambut di Kelantan. Tak sangka pulak en. hubby nak balik kampung untuk beraya bersama adik-beradik dan sanak saudara di kampung. Sebenarnya dah lama kami tidak menyambut hari raya puasa dan hari raya haji di Kelantan. Kali terakhir kami menyambut raya haji di Kelantan pada tahun 2010. Tahun itu hari raya haji jatuh dalam cuti akhir tahun persekolahan. Anak-anak teruja sangat untuk balik ke kampung terutama anak bongsuku.  

              12/10/13 (7.45 a.m) Sabtu, kami sekeluarga bertolak ke Kelantan dalam hujan yang agak lebat. Kali ini mak tidak ikut kami, jadi anak sulung ku ditugaskan untuk menemani mak. Kami balik berlima sahaja. Sepanjang perjalanan hujan turun mengiringi kepulangan kami hinggalah ke Kuantan.  Sebelum bertolak, hubby sempat memasak sedikit bekalan sementara menunggu aku bersiap dan mengemas rumah sebelum ditinggalkan. Bekalan itu dapatlah dijadikan alas perut sepanjang perjalanan kami. Tidur makan, tidur makan...itulah dilakukan anak-anak. Aku juga sekali-sekala turut tertidur. Hati sentiasa berdoa agar perjalanan dilindungi dan dipermudahkan. Alhamdulillah...trafik bergerak lancar walaupun agak banyak dari biasa.

              Kami berhenti makan tengah hari di gerai tepi jalan dalam daerah Setiu. Hubby dan anak-anak sahaja yang makan. Aku hanya minum kerana tiada lauk-lauk yang dapat membuka seleraku. Lagipun dalam masa 1 jam lagi kami akan sampai di rumah kakak di Besut. Rumah kakak di Gong Nering Besut, persinggahan pertama kami. Selepas makan, solat dan berehat sebentar, kami ke rumah abang Hasan di Kg Raja Besut pula. Abang Hasan mengajak kami bermalam di rumahnya, tapi kami menolak dengan baik. Kami bertolak semula ke Kelantan jam 6.00 p.m. Sepanjang perjalanan hujan turun agak lebat. Sampai di bandar Jerteh, trafik sesak, hampir 30 minit juga kami tersekat di bandar Jerteh.

              
Buah betik ni.kalau masak warna apa agaknya? Pokok ni baru pertama kali berbuah di rumah kak cik Jertih

              Akhirnya, tepat jam 8.00 p.m, sampai juga kami ke destinasi yang dituju rumah kakak di Kg Chetok Pasir Mas Kelantan. Jelas tergambar kegembiraan pada wajah hubby. Kakak (kak cik) juga menyambut kami dengan kegembiraan. Malam itu kami dinner masakan kakak yang sedap walaupun hanya telur dadar, ikan masak kicap, ulam-ulaman beserta budu dan tempoyak. Air tangan kak cik memang tiada tandingan walaupun hanya masakan yang simple. Malam itu juga aku lihat hubby dan anak-anak tidur dengan lena sekali. Hanya aku sahaja yang tak dapat lena kerana berperang dengan nyamuk dan bunyi bising kenderaan. Rumah kak cik sangat hampir dengan jalan utama dari Tanah Merah ke Pasir Mas. Kenderaan tidak putus lalu-lalang apatah lagi menjelang perayaan. Itulah masalah yang sering aku hadapi jika balik ke rumah kak cik. Bunyi bising kenderaan menyebabkan aku tidak dapat tidur dengan lena.

               Hari ke 2, kami menziarah kakak dan saudara mara di Kg Bukit Panau Tanah Merah. Kami ke rumah kak Yah ( kakak hubby yang ke 3) terlebih dahulu. Lebih 2 bulan kak Yah tidak dapat berjalan kerana 3 ulas anak jari kakinya telah dipotong akibat kencing manis. Kak Yah hanya mampu mengesot dan bangun dengan bantuan anak-anak. Aku melihat kaki kanannya berbalut rapi selepas dicuci oleh doktor di klinik. Setiap pagi kak yah perlu dibawa ke klinik berhampiran untuk dicuci kakinya itu sehinggalah kakinya betul-betul sembuh. Kak Yah juga mesti menyuntik insulin 4 kali sehari untuk rawatan kencing manisnya. Melihat keadaannya, aku berasa simpati dan insaf bahawa betapa pentingnya menjaga kesihatan dan pemakanan. Tengah hari itu kami makan di rumah kak Yah.

             Dari rumah kak Yah, kami ke rumah kak Nah (kakak hubby yang ke 4). Kak Nah mempelawa kami makan nasi di rumahnya, tapi kami sudah makan di rumah kak Yah. Kami hanya minum sambil bercerita pengalaman sepanjang kami mengerjakan Umrah tempoh hari. Seperti biasa, kak Nah juga tidak habis bercerita tentang keluarga dan cerita-cerita lain. Kesimpulannya, seronok bila sekali-sekala berkumpul. 

           Sebelum balik ke rumah kak cik, kami ke bandar Tanah Merah. Tujuan utama ku, semata-mata untuk ke Galeri Ariani. Kebetulan  Ariani sedang mengadakan potongan harga 40% + 10% untuk pemegang member's card. Apa lagi, kalau dah masuk butik Ariani, rambang matalah aku. Pilih punya pilih, 4 helai Zafira menjadi pilihan. Entahlah...aku selalu tewas dengan godaan tudung-tudung Ariani, padahal dah melambak tudung Ariani telah terkumpul. Ariani...ooo...Ariani.....

          Sampai di rumah kak cik hari dah hampir magrib. Lepas solat magrib, hubby bersiap-siap untuk berjumpa kawannya di Pasir Mas. Aku dan anak-anak tidak turut serta, hanya berehat di rumah. Disebabkan di rumah kak cik tak ada astro, aku hanya menonton tv 1 rancangan khas Ibadah Haji. Menonton rancangan itu menyebabkan perasaan rindu akan Tanah Suci meluap-luap. Segalanya masih segar dalam ingatan dan jelas terbayang di mata.

             Hari ke 3 : Sebagaimana yang telah dijanjikan dengan anak-anak, pagi ini kami ke Pasir Mas. Kalau balik ke sini tak sah rasanya kalau tak berkunjung ke Bandar Pasir Mas terutamanya di pasar. Di sini walaupun pasarnya masih dlm keadaan 'daif' tapi orang ramai tetap memenuhi setiap ruang untuk membeli keperluan harian. Semuanya ada terjual di sini...makanan basah, makanan panas, kuih-muih, pakaian, dsbnya  boleh didapati dgn mudah dan harganya pula sangat berpatutan. Tak payah nak pergi ke Rantau Panjang, di sini juga sudah cukup.

              Hubby dan anak2ku tidak melepaskan peluang untuk membeli Jersi dan jeans. Aku juga, sudah tentu membeli blaus yang beranika corak dan fesyen terkini. Tergoda juga dengan jubah yang berbentuk dress, tapi tak ada pula warna yang berkenan di hati. Kalau ada pun saiznya pula menjadi masalah. Puaslah kakak yg menjual jubah tu 'membodek' aku dengan puji-pujian.."adik ni putih, warna pink terang ni sesuai sgt dgn kulit adik, menyerlah kalau adik pakai." Begitulah antara ayat power kakak yg menjual jubah tu...Alhamdulillah...aku masih boleh menahan godaan itu.

            Setelah penat menjelajah setiap ceruk pasar, kami singgah di gerai makan untuk membasahkan tekak dan mengisi perut yg kosong. Walaupun keadaan gerai makan tak seindah restoran, tapi hidangannya tidak kurang enak. Kami memesan ABC dan mee rebus ala-ala mee sup. Setelah selesai mengisi perut, kami keluar dari pasar. Kami perlu balik segera kerana pada sebelah petang kami akan meneruskan perjalanan ke rumah abang di Felda Ciku 7 Gua Musang.

                  Sampai di rumah kak cik, masing2 keletihan. Plan nak bertolak lepas Zuhur ditunda pula selepas Asar. Berilah peluang driver berehat...nanti mengantuk pulak dalam perjalanan. Kak cik sibuk menyiapkan juadah untuk hari esok. Malam nanti anak-anaknya Lina & Zura akan sampai. mereka pula akan menyambung kerja masak memasak. Mereka semua handal dalam bab memasak kalau nak dibandingkan dengan 'moksu'nya ini...(akulah tu)..

                    Tepat jam 4.30 petang kami bertolak ke Ciku. Sampai di Bandar Tanah Merah aku minta hubby berhenti di Ariani..Ariani lagi...bukan apa, aku nak menukar tudung yang aku beli semalam. Dalam sibuk menukar tu, beli pulak dua helai lagi...Hari ini Galeri Ariani ditutup lebih awal kerana esok hari raya. Berilah peluang pekerja2nya membuat persiapan. Nasib baiklah aku sampai cepat beberapa minit...kalau tidak, melepaslah keranan hari ini, hari terakhir Ariani memberi potongan 40% + 10%. Terima kasih Ariani.

                   Kami meneruskan perjalanan. Trafik bergerak agak sederhana, nak kata sesak tak juga sebab kami menghala ke Gua Musang. Tapi arah bertentangan kami kenderaan bertali arus. Mungkin rakyat Kelantan dari Pahang dan negeri2 pantai Barat masih dalam perjalanan menuju ke destinasi masing-masing. Seperti biasa, hubby menelefon abangnya memaklumkan kami dalam perjalanan dan yang penting, sampai nanti nak makan malam ramai-ramai. Jadi mereka haruslah menunggu sehingga kami sampai untuk makan malam bersama-sama.

               Hampir jam 8.00 malam kami pun sampailah di rumah abang yang tersergam indah ini. Mereka menyambut kami dengan gembira kerana lama tidak bersua muka. Suasana di rumah abang memang sentiasa riuh kerana semua anak-anaknya ada berkumpul untuk menyambut hari raya kurban pada tahun ini. Di dapur, ketupat telah siap dimasak. rendang masih dalam kuali. Anak2 dara sibuk menghidang makan malam. Seronoknya dapat berkumpul macam ni...pantang makan malam terpaksa dilanggar..nanti balik berpantang semula...Walaupun makanan yang terhidang agak simple tapi bila dah ramai-ramai, selera memang terbuka, apatah lagi ada ulam petai dan tempoyak + budu. Aku tengok orang lain dah berhenti tapi hubby masih duduk bersila sambil berceloteh dan tangan masih menyuap nasi...Beginilah sekali-sekali berkumpul, seronok bukan main. Selesai makan malam, aku membantu kerja-kerja di dapur. Tak banyak sebenarnya yang aku tolong, tolong tengok dan tolong menyibuk je...sebabnya dah ramai yang di dapur tu. Ketupat dan rendang sudah siap di masak. Tinggal sambal kacang, nasi arab dan ayam goreng je lagi yang belum siap. Sambung esok pagilah pulak. Selamat malam.


             Hari ke 4 - 15/10/13 (10 Zulhijjah 1434). Selamat Hari Raya Aidil Adha. Lepas subuh, kami menyiapkan hidangan. Kaum lelaki bersiap-siap ke masjid untuk solat sunat hari raya. Juadah suadah terhidang di atas meja. Suasana meriah dapat dirasakan apabila dapat berkumpul dan makan bersama-sama. Sudah lama kami tidak merasakan suasana begini. Alhamdulillah...moga suasana begini dapat lagi kami rasakan nanti.

                 Selepas selesai solat sunat hari raya, sibuk pula ke tempat ibadah korban diadakan. Aku hanya menunggu di rumah. Selesai ibadah korban, sibuk pula mengagihkan daging korban kepada jiran tetangga dan menyiapkan hidangan untuk tetamu. Biasanya daging korban hanya dimasak singgang dan goreng kunyit sahaja. Memang sedap dan menyelerakan. Sudah menjadi adat di Kelantan ni, daging korban bukan sahaja diagihkan kepada jiran malah akan dijamukan kepada tetamu. Suasana inilah yang menjadikan hari raya korban nampak lebih meriah di Kelantan. Setiap rumah yang membuat korban akan mengadakan jamuan. Dari petang sampailah ke malam tak putus-putus tetamu datang. Terlalu cepat masa berlalu, siang bertukar malam. Esok kami akan meninggalkan bumi Kelantan. Walau pun sekejap tercapai juga hajat suami dan anak-anak nak beraya di Kelantan.

                 
Menikmati juadah pada pagi hari raya.
Kenangan Aidil Adha 1434 di Kelantan.


                


               



No comments:

Post a Comment