Pages

Total Pageviews

Thursday 25 July 2013

UMRAH KE 3

BERMIQAT DI TANA'IM

DAY 7 - 5/6/2013 (RABU)

ASSALAMUALAIKUM KEPADA SEMUA PEMBACA DAN FOLOWER..

Hari ini saya akan menyambung semula catatan yang dah beberapa hari tergendala. Harap semua tidak bosan membaca catatan saya ini.

           Tepat jam 3 pagi, hubby mengejutkan ku dari tidur. Dia masuk ke bilik air untuk bersiap ke masjid solat subuh. Aku bangun dari katil perlahan-lahan tetapi kakiku 'krem'..aku duduk semula sambil mengurut-urut kakiku. Setelah rasa sedikit lega, aku berdiri semula. Aku cuba melangkah perlahan-lahan tapi masih terasa sakit. Aku memberitahu hubby yang aku tidak dapat ke masjid, kerana kakiku masih terasa sakit. Dia segera bersiap dan berpesan kepadaku supaya makan ubat sakit otot yang kami bawa dari Malaysia. Barulah aku teringat tentang bekalan ubat-ubatan yang kami bawa. "Kenapalah semalam aku lupa pasal ubat tu...

            Setelah hubby ke masjid, aku mengambil sebiji pil sakit otot sambil berdoa agar kakiku segera sembuh. Selepas itu aku bersiap-siap untuk solat subuh di bilik. Sementara menunggu azan subuh, aku  duduk di katil sambil berzikir. Tentu hubby sedang melakukan tawaf sunat..fikirku dalam hati. "Ya Allah...sembuhkanlah sakit kakiku ini..." Sebenarnya kami bercadang untuk melakukan Umrah ke 3 secara sendirian kerana Umrah berkumpulan yang dibawa oleh agensi hanya sekali sahaja lagi. Ini bermakna agensi hanya dua kali membawa kami ziarah luar beserta dengan bermiqat. Umrah pertama semasa kami datang dari Madinah, Umrah ke dua semalam selepas kami dibawa ziarah luar ke Arafah dan yang ketiga ziarah luar ke Hudaibiah pada petang esok. Sekiranya kami hendak melakukan umrah lebih dari itu, kami perlu melakukannya sendiri. Kami bercadang untuk melakukan 7 kali Umrah. (7 kali Umrah = 1 kali Haji). Itu pun kalau berkesempatan atau tiada halangan mendatang. Kami hanya merancang tapi Allah yang menentukan segalanya.

          Setelah selesai solat Subuh, aku mengurut-urut semula kakiku dengan minyak Habatus Sauda. Terasa jantung betisku keras dan sakit. Mungkin kerana banyak berjalan...Memang, dalam melakukan ibadah Umrah ini kita banyak menggunakan tenaga untuk berjalan. Setiap waktu solat, berjalan dari hotel ke masjid dan masjid ke hotel. Kalau jarak hotel dengan masjid agak jauh, jemaah hanya pulang ke hotel selepas solat Subuh, Asar dan Isyak. Aku bersyukur kerana Hotel Mawaddah tempat penginapan kami tidak begitu jauh jaraknya dengan Masjidil Haram, anggaran 350m sahaja. Oleh itu, aku boleh pulang ke hotel setiap waktu selepas solat. Ada jemaah yang aku temui di masjid, berkata yang jarak hotel mereka hampir 1km. Kalau jemaah yang sudah berusia emas dan uzur, terpaksa mengambil teksi untuk berulang alik ke masjid. 

          Selain dari berulang-alik ke masjid, kita juga banyak menggunakan tenaga semasa mengerjakan Tawaf dan Saie. Sekiranya tidak terlalu ramai jemaah yang bertawaf, kita boleh menghabiskan 7 pusingan dalam masa yang pendek. Tapi kalau dah terlalu ramai, kita akan berasa sangat letih kerana dihimpit, dirempuh dan dilanggar oleh jemaah-jemaah yang berbadan besar. lagi satu, kita juga turut dilanggar oleh jemaah yang berkerusi roda. Kalau kerusi roda mereka terkena kaki kita, hanya Allah yang tahu betapa sakitnya. Jadi, pandai-pandailah kita mengelak dari dilanggar oleh mereka. Selepas melakukan Tawaf Umrah, kita perlu segera melakukan Saie. Jika dihitung jarak kita berjalan sebanyak 7 pusingan Saie dan tambah 2 pusingan lagi untuk masuk dan keluar dari tempat Saie, rasanya lebih 5km jaraknya. Jadi, kepada yang bakal mengerjakan Umrah dan Haji, buatlah persediaan dari segi fizikal dan mental.  Berlatihlah berjalan dalam jarak yang jauh sebelum mengerjakan Umrah dan Haji. Itulah yang terjadi kepada aku...Aku memang kurang ber'exercise' sebelum datang ke sini. Manalah pernah aku berjalan sejauh 5km sebelum ini. Aku hanya melakukan 'exercise' ringan seperti mengayuh basikal statikku di rumah. Itupun hanya beberapa km sehari. Jadi tak hairanlah kenapa kakiku sakit selepas 2 kali mengerjakan Umrah.

                    Setelah bersarapan, aku dan hubby berehat sahaja di bilik. Aku meminta hubby mengurut kakiku. Kami bercadang untuk keluar bermiqat untuk Umrah ke 3 pada pukul 10 pagi. Aku kuatkan semangat untuk mengikut hubby walaupun kakiku masih terasa sakit. Aku call kak Bib memberitahu yang kami akan buat Umrah, kalau dia dan suaminya nak join sekali bolehlah ikut kami. Tapi kak Bib dan suaminya masih kepenatan, mereka nak berehat sahaja di bilik. Aku dan hubby bersiap-siap untuk keluar bermiqat.

             Tepat jam 10 pagi, kami keluar dari bilik. Sampai di lobi, kami meninggalkan kunci bilik di kaunter reception. Aku lihat tak ada pun jemaah rombongan kami selain daripada aku dan hubby yang nak keluar melakukan Umrah. Mungkin mereka semua penat atau mereka memilih waktu selepas subuh atau tengah malam untuk melakukan Umrah. Di luar hotel, teksi sedia menunggu,  pilih sahaja yang satu berkenan..Kebanyakan teksi di Mekah menggunakan kereta jenis Toyota seperti Altis, Camry, Vios dan Enova. Mereka mengenakan bayaran SR50 untuk sebuah teksi  bagi perjalanan pergi dan balik ke Tanah Halal iaitu Tana'im untuk bermiqat. Jarak dari Masjidil Haram ke Tana'im lebih kurang 7.5km sahaja. Jika penuh sebuah teksi, jimatlah sikit sebab kita boleh berkongsi tambangnya. Tapi aku dan hubby hanya berdua, jadi terpaksalah kami membayar SR50 untuk sebuah teksi Enova yang boleh muat 6 orang itu. 

                Aku dan hubby duduk di tempat duduk belakang driver. Aku risau juga kalu Pak Arab ni bawa kami ke tempat lain. Manalah kami tahu jalan-jalan di Kota Mekah ini. Banyak juga cerita yang aku dengar tentang jemaah wanita yang dibawa lari oleh pemandu teksi dan juga jemaah yang dirompak. "Nau'zubillahiminzallik...janganlah perkara seperti itu berlaku kepada kami." Sepanjang perjalanan ke Tana'im, aku adan hubby langsung tidak berbual-bual...kami hanya berzikir sambil menikmati pemandangan sekitar Kota Mekah dan mengecam jalan-jalan yang dilalui. Pak Arab yang memandu teksi pun tidak berkata apa-apa kepada kami, mungkin dia tidak pandai berbahasa lain selain bahasa Arab. Dalam teksi tu hanya kedengaran suara qari mengalunkan ayat-ayat suci. Sekali-sekala terdengar juga suara Pak Arab tu berzikir dan beristigfar apabila jalan raya menjadi sesak atau ada kenderaan lain menghimpit keretanya. Kesimpulan yang dapat aku buat tentang pemandu-pemandu di sini, mereka suka membunyikan hon dengan kuat. Suka-suka hati mereka je nak bunyikan hon. Lagi satu, mereka sangat cekap memandu walaupun memandu dengan laju. Kadang-kadang kecut juga perut dibuatnya. Agaknya kalau setakat bergesel sikit dengan kenderaan lain, mereka tak kisah pun. Aku perhatikan teksi-teksi di sini mesti ada kecacatannya. Kemek-kemek di sana-sini agaknya perkara biasa kepada mereka.

                 Setelah selesai solat sunat ihram dan berniat umrah di Masjid 'Aisyah di Tana'im, kami terus menaiki semula teksi yang membawa kami tadi. Sepanjang jalan ke Masjidil Haram kami hanya bertalbiah. Rasanya perjalanan kali ini lebih cepat dari perjalanan semasa datang tadi. Sampai di Masjidil Haram hampir jam 11 pagi. Suhu pada skrin digital di King Abdul Aziz Gate menunjukkan angka 42 darjah celcius. "Ya Allah berilah kekuatan kepada kami untuk mengerjakan Tawaf." Kami terus bertawaf walaupun dalam keadaan panas terik itu. Walaupun dalam cuaca panas terik itu, aku lihat sedikitpun tidak menghalang para jemaah untuk mengerjakan Tawaf. Ada juga yang membawa anak kecil. Merah menyala pipi anak-anak kecil kerana kepanasan. Aku sungguh simpati melihat mereka terjerit-jerit menangis kepanasan dalam arus manusia yang semakin ramai itu. Ada juga yang tertidur dalam dukungan ibu atau bapa mereka. Apalah rasionalnya mereka membawa anak kecil yang berusia 2 tahun ke bawah mengerjakan Tawaf di tengah-tengah panas begini? Hubby turut mengipas-ngipas dengan buku doa muka baby yang menangis dalam dukungan bapanya di hadapan kami. Sampai menitis air mataku melihat baby yang comel itu menangis kepanasan. Jemaah semakin ramai mengerjakan Tawaf sunat kerana sudah hampir waktu Zuhur. 

                 Semasa mengerjakan Tawaf, aku lihat ramai jemaah yang berasak-asak untuk cuba memboloskan diri untuk sampai ke Rukun Hajarul Aswad. Untuk menyentuh atau mengucup Hajarul Aswad bukanlah satu perkara yang mudah. Jika tidak kuat semangat, fizikal dan mental memang tak sampailah kita untuk menghampirinya. Adalah lebih baik kita menyelesaikan terlebih dahulu ke tujuh-tujuh pusingan Tawaf dengan penuh kusyuk sebelum cuba untuk merapatkan diri ke Hajarul Aswad kerana dibimbangi Tawaf kita akan terbatal atau kita terlupa bilangan pusingan Tawaf yang sudah dilakukan.

                 Ketika mengerjakan Tawaf juga, terdapat 'satu sendikit' terdiri daripada beberapa orang Indonesia yang menawarkan diri untuk membawa kita mengucup Hajarul Aswad. Ramai jemaah yang sudah terkena. Memang kita akan dapat mengucup Hajarul Aswad dengan mudah kerana mereka akan mengawal jemaah lain daripada melanggar atau merempuh kita. Mereka seolah-olah menjadi  'body guard' kita. Bantuan mereka itu bukanlah diberi secara gratis atau percuma tetapi  mereka akan menuntut bayaran yang agak mahal, paling kurang pun SR300. Kalau tak bayar mereka akan ikut kita sampai ke hotel. Tapi jika kita rasa duit tak bernilai sangat jika dibandingkan dengan nilai dapat mengucup Hajarul Aswad, lakukanlah..tiada siapa menghalang. Polis-polis arab yang bertugas di situ pun hanya melihat sahaja perbuatan kumpulan sendikit itu. Tiada undang-undang yang melarang mereka mencari rezeki cara begitu, sebab itulah mereka berani melakukannya.
(Maklumat tentang Tawaf boleh lihat pada link di bawah)
http://smile4all.wordpress.com/2009/05/20/umrahtawafdos-donts/

               Selesai  mengerjakan Tawaf, kami terus mengerjakan solat sunat tawaf. Kali ini kami cuba masuk ke dalam Hijr Ismail untuk solat sunat Tawaf. Untuk masuk ke dalam Hijr Ismail bukanlah satu perkara yang mudah. Jemaah perlu pandai memboloskan diri di celah-celah jemaah yang ramai. Kalau terlalu ramai, polis yang mengawal di situ tidak akan membenarkan jemaah masuk ke dalam. Selepas dapat masuk, kita perlu mencari ruang untuk bersolat. Kalau nak tunggu dapat ruang yang selesa, sampai sudahlah kita tidak boleh bersolat.
Sedikit tip yang dapat aku berikan untuk solat di dalam Hijr Ismail:
1) Lebih baik jika masuk bersama pasangan atau berkawan kerana kita boleh solat secara bergilir-gilir. Seorang bersolat, seorang lagi menjadi perisai di hadapan bagi mengelakkan jemaah lain melanggar atau memijak kepala kita ketika sedang bersujud.
2) Bagi jemaah wanita, lebih baik jika kita merapatkan diri ke bahagian dinding, sama ada dinding sebelah kiri, kanan atau belakang. Cara ini dapat mengelakkan kita dari terjatuh atau rebah. Kita  boleh menyandarkan badan kita ke dinding apabila ada jemaah lain menolak atau merempuh kita.
3) Jika selesai bersolat, berilah ruang solat kita itu kepada jemaah lain yang sedang menunggu dan keluarlah dengan segera. Tak perlulah kita berlama-lama kerana ramai lagi jemaah yang menunggu untuk masuk ke dalam Hijr Ismail ini.
Begitulah yang aku dan hubby lakukan untuk membolehkan kami bersolat sunat di dalam Hijr Ismail.
(untuk mengetahui tentang Hijr Ismail klik pada link di bawah.)
http://kisuta.wordpress.com/2012/12/17/hijir-ismail-pintu-surga-yang-mustajab/
 
             Selepas itu kami terus ke tempat air zam zam kerana minum air zam zam selepas solat sunat Tawaf adalah sunat. Setelah meneguk air zam zam yang lazat itu, terasa bertenaga semula dan hilang segala kepenatan dan kepanasan. Kemudiannya, kami terus naik tingkat paling atas untuk mengerjakan Saie. Di sini jemaah tidak terlalu sesak seperti di tingkat 1. Semasa mengerjakan Saie, entah macam mana sedikit pun aku tak terasa penat. Kakiku yang sakit pun dah tak terasa sakit. Aku boleh berjalan mengerjakan Saei dengan jayanya sehingga ke pusingan terakhir. Selesai sahaja mengerjakan Saie, azan Zuhur pun berkumandang. Aku dan hubby berpisah ke ruang solat masing-masing. Sebelum itu hubby berpesan kepadaku supaya pulang ke hotel sendiri, tak perlu menunggunya kerana dia akan melakukan Tawaf sunat selepas solat Zuhur nanti.

            Aku ke ruang solat di tingkat satu tempat aku bersolat pada hari semalam. Selesai solat Zuhur, aku beredar ke balkoni untuk menatap Ka'bah sambil berdoa. Banyak lagi yang perlu aku doakan. Moga Allah mendengar dan memakbulkannya. Selepas ini entah bilalah lagi aku berkesempatan untuk datang ke sini. Jadi kesempatan yang aku ada ini tak akan aku sia-siakan begitu sahaja. Agak lama juga aku berdiri di balkoni. Entah mengapalah, aku tak pernah rasa puas dan jemu untuk menatap Baitullah ini. Mungkin jemaah lain pun begitu juga, kalau tidak buat apalah mereka berdiri sepanjang balkoni ini. 
Suasana Tawaf selepas solat Zuhur (5/6/13 - Selasa)
Petugas-petugas sedang membersihkan dataran Tawaf. (Dilihat dari tingkat atas MH)
Pembesaran di bahagian sebelah kiri Masjidil Haram.
Pembesaraan di bahagian hadapan Masjidil Haram.

             Aku meninggalkan Masjidil Haram setelah para jemaah samakin berkurangan. Kalau keluar awal, tangga, ascalator dan pintu keluar penuh sesak dengan para jemaah. Begitu juga keadaan di kawasan dataran dan sepanjang jalan ke hotel. Tapi sekali-sekala terasa seronok pula melihat kesesakan itu kerana semuanya berebut-rebut hendak melakukan perintah Allah di Tanah Suci ini. Keadaan seperti ini tidak akan dapat dirasa di tempat kita. Di sinilah manusia dari segenap pelusuk dunia tidak kira bangsa datang berkumpul untuk agama yang satu dan mengerjakan kewajiban kepada Yang Satu. Bukan itu sahaja, di sini juga aku dapat melihat pelbagai ragam manusia dalam mengerjakan ibadah kepada Allah. Selain itu, tidak kurang juga dugaan dan ujian yang diberikanNya kepada hambanya yang terpilih. Aku sendiri merasakan beberapa ujian Allah di sini."Subhanallah... aku jadi sebak bila memikirkan kebesaran Allah ini." 

           Sebelum sampai di hotel, seperti biasa aku singgah di kedai yang menjual jus dan aiskrim. Kali ini aku membeli jus magga. Jus di sini berbeza sedikit dengan jus yang biasa aku minum di tempat lain. Jusnya pekat dan manis...memang lazat. Lupa pulak aku nak snap gambar jus untuk aku tunjukkan. Begitu juga dengan aiskrimnya...rasanya halus dan lembut ala-ala tutti fruty..

             Sampai di hotel aku terus ke dewan makan untuk makan tengah hari. Ramai jemaah sedang menjamu selera. Aku mengambil tempat di sebelah jemaah wanita yang tidak ku kenali. Kami berkenalan dan bercerita pengalaman sepanjang berada di Madinah dan Mekah. (selepas itu aku tidak lagi nampak dia, nama dia pun aku lupa nak tanya...cuma dia membahasakan dirinya akak).

            Tidak lama kemudian, hubby datang ke mejaku. Aku tak jadi naik ke bilik, duduk semula dan berbual bersama jemaah lain. Ramai jemaah bercerita pengalaman mereka dapat mengucup Hajarul Aswad. Seronoknya...hubby teruja sangat tapi dia kata, dia masih tak berani nak memboloskan diri dalam kesesakan manusia yang mengerjakan Tawaf dan berebut-rebut untuk merapatkan diri ke dinding Ka'bah bermula dari Rukun Yamani lagi. Tapi dia akan terus mencuba dan mencuba.

              Kami naik ke bilik untuk berehat sementara menunggu waktu Asar. Di bilik aku dan hubby bercerita tentang solat jenazah sepanjang kami berada di Madinah dan Mekah. Setiap kali selepas solat fardhu, akan diikuti dengan solat jenazah. Beruntungnya bersolat jemaah di masjid kerana kita juga dapat mengutip pahala dengan menunaikan solat jenazah. Satu kali solat jenazah pahalanya sama dengan mendapat satu Bukit Uhud. Tapi hubby kata dia tak pernah pun nampak jenazah diusung masuk atau keluar sepanjang dia bersolat di Masjidil Haram Mekah. Kalau di Masjid Nabawi, selalu juga dia nampak. Mungkin di Masjid Nabawi kuburnya (tanah perkuburan Baqi') berhampiran dengan masjid. Di Mekah, kami tak tahu jenazah dikebumikan di perkuburan mana. Setiap kali kami ke masjid, kami akan membilang jumlah van jenazah yang berbaris di hadapan dataran Masjidil Haram. Kadang-kadang ada 5 buah van, bermakna ada 5 jenazah lah yang akan disolatkan. Tidak pernah sekali pun tidak ada solat jenazah selepas solat fardhu.

           Jam 3.30 petang aku dan hubby ke masjid untuk menunaikan solat Asar. Kami sempat mengerjakan Tawaf sunat sebelum masuk waktu Asar. Selepas Tawaf sunat, kami masuk semula ke dalam pusingan Tawaf. Kami nak mencuba nasib untuk menghampiri Rukun Hajarul Aswad. Aku dapat memegang dinding Ka'bah dan Rukun Yamani. Dari sini, kami merapatkan diri ke dinding Ka'bah untuk menuju Rukun Hajarul Aswad. Entah berapa lama kami tersekat. Akhirnya kami terpaksa mengalah kerana azan sudah berkumandang. Polis dan pengawal mengarahkan kami meninggalkan dataran Tawaf  kerana solat Asar akan bermula tidak lama lagi. Hubby menyeruh aku beredar dengan segera kerana jemaah wanita dilarang bersolat di atas dataran Tawaf. Hubby berjanji akan menunggu aku di tempat permulaan Tawaf selepas solat Asar nanti.

             Selepas solat Asar, aku turun semula ke dataran Tawaf untuk melakukan Tawaf sunat sekali lagi. Hubby sudah sedia menanti. Kami sekali lagi mengerjakan Tawaf sunat sambil berusaha merapatkan diri ke dinding Ka'bah. Tapi kali ini aku lihat bilangan jemaah semakin ramai. Aku beberapa kali dilanggar dan dirempuh. Semakin kami cuba merapatkan diri ke Ka'bah semakin kuat rempuhan dan himpitan terutama kepadaku yang tak berapa besar ni, jika nak dibandingkan dengan pak-pak arab yang menghimpit aku. Aku nyaris-nyaris terlepas pegangan daripada lengan hubby. Melihatkan keadaan yang seperti itu, aku mengajak hubby keluar dan berbisik kepadanya, "lain kali ajelah kita cuba, dah tak larat dah ni..." Akhirnya kami mengalah, dan tidak berjayalah kami kali ini.

 
Sebahagian daripada siling Masjidil Haram
Petugas-petugas sedang menggantikan bekas air zam zam yang telah kosong.
Quran-quran waqaf yang sentiasa tersusun rapi walaupun sentiasa digunakan oleh para jemaah.


 
          Dalam perjalanan pulang ke hotel, aku memberitahu hubby, lepas ni kalau dia nak mencuba lagi mengucup Hajarul Aswad, cubalah sendiri. Aku akan mencuba bila keadaan mengizinkan. Entah bilalah agaknya..."Insya Allah...berdoa banyak-banyak minta pertolongan daripadaNya agar dipermudahkan segala urusan..."

             Sampai di hotel kami tidak terus naik ke bilik tapi keluar semula kerana aku mengajak hubby jalan-jalan meninjau kedai-kedai yang banyak di situ. Waktu beginilah kedai-kedai akan dipenuhi jemaah-jemaah dari Malaysia khususnya. Ada yang membeli belah, yang hanya keluar masuk tanpa membeli pun ada. Peniaga-peniaga di sini ramah-ramah belaka. Semuanya pandai berbahasa Melayu. Harga barang juga sangat berpatutan, sama juga macam di Madinah. Tapi aku rasa di Mekah ni aku dapat harga lebih murah dari harga barang yang dijual di kedai-kedai Madinah. Di Madinah banyak penjaja yang menjual barang mereka  di lorong atau jalanan seperti jualan lelong atau pasar lambak.Harga barang yang dijual oleh penjaja jauh lebih murah dengan harga barang yang dijual di kedai walaupun barang yang sama. Tetapi di Mekah tidak ramai penjaja seperti di Madinah. Jadi semua orang membeli-belah di kedai atau pasaraya sahaja. Dalam pada itu, banyak juga barang yang aku beli. semuanya untuk buah tangan buat keluarga dan kawan-kawan juga untuk diri sendiri.

          Kami naik semula ke bilik untuk bersiap-siap ke masjid. Malam ini tiada aktiviti dalam jadual rombongan kami. Kami diberikan kebebasan untuk melakukan acara sendiri. Acara 'wajib' untuk para jemaah selain berulang-alik ke masjid ialah acara "melontar fulus." Istilah ini diberikan oleh Ustaz Hamdan kepada para jemaah yang kaki shopping. Dalam ibadah umrah, melontar jamrah tiada dalam rukun seperti ibadah Haji. Jadi acara tambahan adalah acaara melontar fulus sehingga habis dan terlaksana segala hajat untuk mendapatkan barangan idaman.

          Selepas solat Isyak, aku mengajak hubby membuat Umrah ke 4. Tetapi hubby keletihan dan nak tidur awal. Lagipun kami lihat malam ini jemaah semakin padat di dataran Tawaf kerana esok adalah cuti umum sempena Israq Miqraj dan bersambung dengan cuti hujung minggu hari Jumaat. Ramai orang Arab mengambil kesempatan datang bercuti ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Kami bercadang melakukan Umrah ke 5 esok pagi, Insya Allah.


Jemaah semakin ramai menjelang tengah malam Israq Miqraj. (gambar di ambil dari TV dlm bilik)
 
            Sampai di sini dahulu untuk kali ini. Saya akan menyambung semula kisah Umrah ke 4 dan ke 5 (hari ke 8). Jumpa lagi..... 




 
 


  

No comments:

Post a Comment