Pages

Total Pageviews

Friday 5 July 2013

EPISOD RAUDHAH

ZIARAH KE 2

DAY 3 - 1 JUN 2013 (SABTU)

          Jam 6 petang jemaah sudah berdedai-dedai ke masjid. Aku menjenguk ke tingkap hotel melihat pemandangan yang sungguh menakjubkan itu. Itulah niat dan tujuan sebenar para jemaah datang ke Tanah Suci, semata-mata untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Yang Esa. Begitu juga dengan diriku, peluang yang diberikan oleh Allah tidak akan aku sia-siakan. Aku terus membersihkan diri dan bersiap untuk ke masjid. 

          Aku dan hubby melangkah ke masjid bersama jemaah yang lain. Aku memberitahu hubby yang aku dan kak Bib akan ke Raudhah lagi selepas solat Isyak nanti. Jadi dia tak perlu menunggu aku. Petang tadi hubby tertidur di lobi hotel kerana menunggu aku. Dia tak boleh masuk ke bilik kerana kunci bilik ada pada aku. Dia tidak dapat menghubungi aku sebab hand phonenya tertinggal di bilik. Patutlah sms yang aku hantar dia tak balas. Akhirnya dia terpaksa juga minta kunci lain dari kaunter reception. Kini, kami dah ada kunci masing-masing jadi tak perlulah kami saling tunggu-menunggu. 

         Sampai di masjid, jemaah dah ramai. Pengawal wanita yang bertugas di pintu seperti biasa menjalankan tugasnya memeriksa beg para jemaah. Kali ini aku terlepas dari diperiksa oleh pengawal itu. Mungkin kerana jemaah terlalu ramai berasak-asak di pintu, jadi tak sempat pengawal itu nak menahan pergerakan kami. Aku terus ke saf paling hadapan. Aku mencari kak Bib, tapi pengawal yang bertugas di situ melarang aku masuk ke saf yang berhamparan merah tempat kak Bib duduk bersama jemaah lain kerana di ruang solat itu sudah penuh. Aku memberi isyarat kepada kak Bib yang aku ke saf paling hadapan di ruang yang tiada hamparan betul-betul mengadap dinding pemisah di antara ruang solat wanita dan lelaki. 

          Aku terus menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Sujud di lantai tanpa alas kerana ruang itu tiada hamparan dan aku pula terlupa nak bawa sejadah. (Peringatan kepada bakal-bakal jemaah, sediakan sehelai sejadah nipis atau sejadah kecil di dalam beg sandang anda). Seorang makcik juga jemaah dari Malaysia yang duduk di sebelah aku, telah bermurah hati berkongsi sejadahnya bersamaku masa solat Maghrib dan Isyak. Sempat juga kami berkenalan...makcik tu berasal dari Kelantan. Dia datang dengan anaknya yang tinggal di KL melalui agensi Andalusia. Kami berpisah selepas solat Isyak. Dia terus balik ke hotel, tapi aku dan kak Bib menunggu pintu dibuka untuk ke Raudhah. Kali ini, pengawal tidak pula mengasingkan kami seperti petang tadi mengikut kumpulan tertentu. Aku dan kak Bib saling berpegangan bersedia untuk mengharungi perjalanan ke Raudhah. 

         Apabila pintu dibuka, apa lagi...berlarilah para jemaah 'seperti dikejar hantu'. Kalaulah kena rempuh atau dilanggar, aku rasa memang tak bangunlah jawabnya... Aku dan kak Bib membiarkan sahaja mereka yang tak sabar itu pergi dahulu. Dalam pada itu, aku lihat ada juga jemaah yang bertelekung putih (jemaah Malaysia lah tu) yang turut berlari bersama dengan jemaah arab tu. "MasyaAllah... Ya Allah, lindungilah mereka." Setelah agak reda, barulah aku dan kak Bib melanglah dengan pantas. Dalam hati sentiasa berdoa "Rabbi yassir wala tu'asir Rabbi tam-mim bil hairi."  

         Sampai di Raudhah, aku lihat pelbagai gelagat jemaah yang agak 'over'. Ada yang menjerit-jerit seperti histiria, ada yang menangis sambil melambai-lambaikan tangan ke arah dinding makam Rasulullah, ada yang menggosok-gosok tiang dan dinding, ada yang mencium dinding dan macam-macam lagi. Aku masih terpaku melihat gelagat mereka yang agak pelik itu, masih tidak berani untuk melangkah kaki ke hamparan hijau. Hamparan hijau pun dah tak kelihatan...jemaah masih berasak-asak dan bertolak-tolakkan. 

           Tiba-tiba kak Bib menarik tangan aku ke bahagian dinding sebelah kiri. Apabila aku tunduk ke bawah, rupanya kami telah memijak hamparan hijau. Tapi kami dirempuh oleh jemaah arab yang berasak-asak di situ. Nasiblah kami sempat mencapai tempat pemegang yang dipasang di sekeliling tiang berhampiran. Sebelah tangan lagi masih tak lepas memeluk lengan kak Bib. Kami dihimpit teruk hingga tak boleh bergerak langsung. Dua orang wanita arab dalam lingkungan 60an berhampiran kami di tiang yang sama mengusap-usap tiang dan menyapukan tangan mereka ke muka. Mereka mengarahkan kami melakukan perkara yang sama seperti mereka. Tapi aku dan kak Bib buat-buat tak faham. Mereka kelihatan seperti marah kepada kami. 

          Sedang kami tercari-cari ruang untuk melepaskan diri dari kumpulan yang ramai itu, kami bertemu dengan Lydia salah seorang ahli kumpulan kami. Lydia seorang yang bertubuh besar dan tinggi seperti tubuh wanita arab. Dia menarik kami ke ruang yang agak kosong, tapi kami masih juga ditolak. Aku tidak dapat berdiri tegak kerana dilanggar oleh jemaah yang lain. Lydia turut menjerit 'solat..solat..solat' (seperti pengawal) ke arah jemaah yang melanggar kami. Sebaik sahaja ada sedikit ruang untuk bersolat, kami terus bersolat sementara Lydia bertindak menjadi perisai kepada kami. Aku tidak berani sujud lama kerana terlalu banyak kaki yang lalu di kepala ku. "Ya Allah...kau lindungilah kami dari segala bahaya..." Setelah selesai solat dua rakaat, kami segera bergerak ke sebelah kanan menuju jalan keluar. Sambil itu, aku tidak putus-putus berdoa agar diberi sedikit ruang untuk kami bersolat sekali lagi. Kami berdiri di belakang jemaah yang sedang bersolat, menunggu mereka selesai. Setelah mereka selesai, kami meminta mereka beredar dan memberi ruang itu kepada kami. Kali ini kami dapat bersolat dengan lebih selesa. Tidak ada lagi kaki yang melanggar kepala kami. Dalam sejud terakhir, aku tidak dapat menahan air mataku. Air mata mengalir laju sambil aku berdoa kepada Allah agar aku diberi peluang lagi untuk menjadi tetamuNya kerana esok kami akan berangkat ke Mekah. 

          Sedihnya rasa hati untuk melangkah keluar dari Raudhah. Apabila kami melalui di bawah mimbar azan untuk keluar, sekali lagi kami diberi ruang oleh Allah untuk bersolat. Kami bersolat dan berdoa lebih lama lagi di sini. Di ruang ini tidak ramai yang bersolat kerana terletak betul-betul di bawah mimbar azan, tapi masih berhamparan hijau. Sekali lagi air mata ku mengalir laju semasa berdoa. Aku terbayang bagaimanakah nanti perjalananku untuk menuju ke syurga yang sebenarnya di Akhirat nanti....Untuk sampai ke Raudhah ini pun aku terpaksa menempuh cabaran, sudah tentu di sana nanti cabarannya lebih besar andainya aku tidak membuat persediaan yang cukup ketika berada di dunia ini. "Na'uzubillahuminzalik...." Semoga aku sentiasa menempuh jalan lurus......

          Aku dan kak Bib akhirnya keluar juga dari kawasan berhamparan hijau itu dengan hati yang berat. Sesungguhnya kami belum puas berdoa...tapi, kami juga harus memberi peluang kepada orang lain yang masih menunggu giliran untuk masuk ke Raudhah. Kami tidak boleh tamak dan bersikap pentingkan diri sendiri. Orang lain juga seperti kami, semuanya ingin masuk ke Raudhah untuk bersolat dan berdoa. Tidak lengkaplah, jika datang ke Tanah Suci tapi tidak berpeluang untuk menziarahi Rasulullah dan bersolat di Raudhah. Semoga aku diberi peluang oleh Allah untuk menjadi tetamuNya dan dapat berkunjung lagi Raudhah menziarahi Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda. In Sya Allah....

         Keluar dari masjid, hubby kak Bib seperti biasa setia menunggu. Kami terus balik ke hotel dengan pebagai persoalan yang belum terjawab. Antaranya, jadikah esok kami meninggalkan kota Madinah Al Munawarah ini? Aku kalau diberi pilihan memang tak nak meninggalkan kota ini kerana masih belum puas beribadah di masjid Nabawi dan masih mahu berkunjung ke Raudhah. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui, maha mendengar dan maha memakbulkan doa hambaNya. Sampai sahaja di lobi hotel kami diberitahu yang kami tak jadi ke Mekah esok. Perjalanan ke sana ditunda ke hari Isnin. Alhamdulillah...ini bermakna aku masih berpeluang untuk ke Raudhah lagi pada hari esok. 

         Aku naik ke bilik dengan perasaan yang gembira. Malam itu aku boleh tidur dengan lena. Walaupun sepanjang hari itu aku dan kak Bib tidak makan nasi yang disediakan di hotel, tapi kami tidak rasa rugi kerana kami dapat sesuatu yang lebih besar ganjarannya daripada hidangan enak yang disediakan di hotel. 

          Sampai di bilik, aku lihat hubby dah tidur dengan lena. Aku tidak mahu mengganggu lenanya. Biarlah dia tidur...tapi dia sedar juga kehadiranku di bilik itu. Setelah pasti bahawa aku telah selamat sampai ke bilik, dia sambung tidurnya semula. Aku teringat nasi beriani yang aku beli petang tadi masih banyak lagi. Aku pun makan untuk mengisi perutku yang agak lapar ini. Setelah membersihkan diri, aku akhirnya terlena dalam rasa syukur yang tidak terhingga atas segala nikmat yang Allah berikan kepadaku sepanjang hari itu. "Semoga hari esok akan lebih baik dari hari ini..."

         Oklah...sampai di sini dahulu kisah aku pada hari ke 3 di Madinah dan kisah aku dan Raudhah. Aku akan sambung semula kisahku ke Raudhah untuk kali ke 3 sebelum berangkat ke Mekah. Kali ini tiada gambar yang aku ambil semasa ke Raudhah kerana memang aku tak sempat langsung nak berbuat demikian. Jumpa lagi next episode...tungguuu....


 
      

No comments:

Post a Comment