Pages

Total Pageviews

Saturday 6 July 2013

EPISODE RAUDHAH LAGI

ZIARAH KE 3

DAY 4 - 2 JUN 2013 (AHAD)

         Alhamdulillah...tepat jam 3 pagi ketika azan pertama berkumandang, aku dan hubby terjaga dari tidur yang sangat lena. Kami bersiap untuk solat subuh di masjid. Melangkah keluar dari hotel, sedikit pun tidak terasa kedinginan subuh seperti di Tanah Air. Cuaca di Tanah Arab dalam musim panas ini sungguh berbeza dengan cuaca di negara kita. Panasnya adalah panas kering. Angin yang menerpa ke muka terasa hangat. Sebab itulah aku lebih selesa memakai Niqab (kain penutuo muka) seperti wanita-wanita Arab. Selain dapat melindungi kepanasan, dengan menutup muka juga dapat melindungi daripada habuk dan juga bau yang kurang menyenangkan. 

        Apabila sampai di masjid, jemaah telah ramai. Agaknya dari pukul berapakah mereka mula datang ke masjid?? Di perkarangan masjid juga aku lihat masih ramai yang sedang lena di atas lantai tanpa alas atau bantal. Mungkin mereka tidak menginap di hotel seperti kami. Mereka menjadikan kawasan dataran masjid sebagai tempat menginap sementara mereka. Ya lah...tujuan utama datang ke Tanah Suci ini adalah untuk beribadah, jadi tempat tidur  bukanlah penting kepada mereka. Aku menjadi insaf bila membandingkan mereka dengan diriku...Alangkah banyaknya nikmat yang aku perolehi berbanding dengan ibadahku kepadaNya... "Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, janganlah aku menjadi hamba yang lalai dengan nikmat yang Kau berikan selama ini...".

          Aku melangkah ke dalam masjid dengan pantas. Seperti biasa, kak Bib dah sampai dahulu daripada aku. Setelah selesai solat sunat Tahiyatul Masjid, aku menunaikan solat tahajud pula dan diikuti dengan solat hajad. Sementara menunggu solat subuh aku menghayati keindahan Masjid Nabawi yang selama ini sangat aku rindui. Tiba-tiba aku mendongak ke atas, Subhanallah....rupanya aku duduk betul-betul di bawah bumbung yang terbuka. Jelas aku dapat melihat langit di atas kepalaku. "Oh, inilah dia kubah yang terbuka dan tertutup secara automatik seperti yang aku lihat di TV."  Terpegun aku seketika...tapi aku tidak sedar bilakah kubah itu terbuka, tidak dapatlah aku melihat bagaimana kubah bumbung yang cantik itu bergerak. Aku menunjukkan kepada kak Bib. rupanya kak Bib pun tidak perasan yang kubah cantik di atas bumbung sudah tidak kelihatan, yang kelihatan kini hanyalah langit. Aku terus mengeluarkan handphone dan mengambil gambar dengan segera bimbang kalau-kalau pengawal ternampak perbuatanku itu. Aku tidak tahu berapakah bilangan sebenar kubah yang terdapat di atas bumbung masjid ini. Yang paling hampir dengan tempat aku bersolat ada 3 buah. Mungkin ada banyak lagi. 
          
Inilah kubah yang terbuka secara automatik.Cantik sangat..
 
beginilah pemandangan langit yang terbentang apabila kubah terbuka.
  
          Tidak lama selepas itu, azan subuh pun berkumandang. Selesai solat subuh, aku dan kak Bib terus keluar dari masjid. Kami tidak ke Raudhah pagi itu kerana kami bercadang untuk pergi selepas waktu zuhur nanti. Sampai di luar masjid kami menunggu suami kak Bib berhampiran toilet nombor 11. Toilet ini paling hampir dengan pintu keluar dari dataran masjid untuk pulang ke hotel. Aku tidak menunggu hubbyku kerana dia telah memberitahu yang dia akan melakukan ziarah dan masuk ke Raudhah. Aku pulang ke hotel dengan kak Bib dan suaminya. Waktu itu lebih kurang pukul 5.00 pagi. Tapi keadaan di sekeling sudah terang seperti pukul 6.30 di Tanah Air. Musim panas di sini waktu siang lebih panjang dari malam.

          Sampai di hotel kami terus menuju ke dining hal untuk bersarapan. Jemaah belum ramai yang datang, jadi kami tidak perlu beratur panjang untuk mengambil makanan. Sarapan pagi ini mee goreng dan roti. Aku tak kisah sangat pasal makan, selagi tekak aku boleh menerima aku telan ajelah apa yang ada. Aku teringat pesanan mak, "jangan merungut kalau makanan yang disediakan rasa tak sedap, nanti semua makanan yang kita makan sepanjang berada di Tanah Suci rasanya tak sedap, walau pun orang lain kata sedap. Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada kerana ranai lagi orang yang lebih susah daripada kita." Alhamdulillah...sepanjang berada di Madinah ini aku dapat mengawal perasaan, pertuturan dan perbuatan yang kurang baik. 

         Selesai bersarapan, aku terus masuk ke bilik untuk berehat. Aku tidak bercadang untuk ke mana-mana pagi ini selain dari berehat sahaja di bilik sementara menanti waktu zuhur. Terfikir juga untuk turun ke lobi melayari internet dan bermuka buku (hanya di lobi sahaja ada wifi) sebentar, tapi aku telah berjanji pada diri sendiri yang aku tidak akan bermuka buku sepanjang berada di Tanah Suci. Jadi, aku batalkan hasratku itu. Aku teringat pula untuk menelefon anakku di rumah. Setelah beberapa minit berbual di telefon aku pun mengakhiri perbualan itu. Terubat juga rasa rindu kepada anak bongsuku. Akhirnya aku tertidur...Aku tersedar semula apabila hubby membuka pintu bilik. Aku melihat jam, baru pukul 7.00 pagi. Terasa lambat waktu berlalu. Aku sambung semula tidurku yang terganggu tadi...

          Jam 10 pagi di sin, seperti jam 12 tengah hari di Malaysia. Aku segera bersiap kerana aku dah berjanji dengan kak Bib untuk ke masjid awal hari ini.  Kami menghabiskan masa dengan bersolat sunat dan membaca Al Quran sementara menunggu waktu zuhur. Setelah selesai solat zuhur, aku dan kak Bib terus beredar ke ruang yang terdapat sepanduk "MALAYZIA" untuk berkumpul bersama jemaah Malaysia yang lain. Seperti hari semalam, jemaah Arab tidak memperdulikan larangan pangawal-pengawal. Mereka tetap berasak-asak di pintu menunggu pintu itu dibuka. Hanya kumpulan Jemaah Malaysia sahaja yang setia dan sentiasa mengikut peraturan. 

          Kali ini kami tidak lama sangat menunggu, pintu itu dibuka. Setelah memberi laluan kepada wanita-wanita Arab terlebih dahulu, kami pun melangkah ke ruang menunggu yang kedua, Kemudian kami di bawa pula ke ruang menunggu ketiga yang paling hampir dengan Raudhah. Beberapa minit selepas itu, tibalah giliran kami masuk ke Raudhah. Kali ini kami dapat masuk dengan lebih mudah tidak seperti malam semalam. Kami dapat bersolat beberapa kali hampir di setiap sudut di dalam Raudhah. Pengawal seolah-olah tidak nampak kami. Bersyukur aku kepada Allah tidak terhingga kerana kali ini kami dapat menunaikan solat dengan lebih khusyuk dan selesa tanpa dilanggar oleh jemaah lain. Air mataku tak henti-henti mengalir ketika bersolat dan berdoa kepada Allah. Sebak rasa hati...seolah-olah tidak mahu meninggalkan Raudhah. Aku tidak tahu adakah ini ziarahku yang pertama atau yang terakhir... Aku memohon kepada Allah, semoga aku diberi peluang lagi untuk berkunjung ke Tanah Suci Madinah ini pada masa akan datang. Insya Allah...Esok yang pastinya kami akan berangkat ke Tanah Suci Makah.

        Aku dan kak Bib melangkah perlahan keluar dari Raudhah. Walaupun berat hati untuk melangkah keluar, kami terpaksa keluar juga demi memberi peluang kepada jemaah-jemaah lain. Sudah cukuplah Allah memberi kami peluang kepada kami kali ini, kami tidak boleh tamak. Kami menuju ke ruang solat wanita dengan penuh kesyukuran dan perasaan gembira. Walau pun terlepas makan tengah hari di hotel, kami tidak berasa lapar. Waktu asar ada lagi 1 jam. Kami mengambil keputusan untuk menunggu waktu Asar di masjid dan tidak pulang ke hotel. Buat pertama kalinya aku masuk ke toilet di masjid Nabawi ini. Untuk ke toilet, kita mesti turun menggunakan ascalator kerana toilet berada di bawah (basement). Toiletnya sangat banyak, tak perlu berebut. Tempat berwuduk pun banyak. Aku terpaksa turun setingkat lagi ke bawah kerana toilet di bahagian atasnya sedang dicuci. Di tepi ascalator juga ada pengawal yang menjaga pergerakan jemaah yang keluar masuk ke tandas. Aku tidak dapat mengambil gambar di sini kerana aku tidak membawa handphoneku. Tak adalah gambar yang dapat aku tunjukkan di sini.

         Selesai solat Asar, kami keluar dari masjid dan menunggu pasangan kami. Lama juga menunggu kerana hubbyku buat ziarah dan ke Raudhah. Setelah hubbyku sampai, abang Din suami kak Bib mengajak kami  berjalan-jalan melihat barang-barang yang dijual  kawasan perniagaan di luar pagar Masjid Nabawi. Setiap jalan dan lorong dipenuhi oleh peniaga-peniaga dan jemaah-jemaah yang datang membeli belah. Petang ini aku lihat ramai jemaah yang mengambil kesempatan membeli belah kerana esok kami semua akan meninggalkan Kota Madinah. Kami pulang ke hotel kerana waktu maghrib hampir tiba. 

            Malam ini adalah malam terakhir kami bersolat di Masjid Nabawi. Aku dan hubby agak lewat sampai di masjid. Sampai di masjid, azan maghrib sudah berkumandang. Peluang untuk aku ke saf paling hadapan agak tipis. Tapi aku mencelah-celah juga walaupun dihalang oleh pengawal. Aku tak nampak kak Bib malam ini. Mungkin kak Bib di ruang tengah. Selepas solat maghrib aku membaca Al Quran. Tapi belum habis satu muka surat aku dah tersengguk-sengguk mengantuk. Entah mengapalah mataku malam ini...

          Selesai sahaja solat Isyak, aku terus balik ke hotel. Aku menelefon hubby meminta dia mengambil sedikit lauk dan nasi di dining hall dan bawa ke bilik untukku. Aku malas nak beratur kerana malam ni aku terlalu letih dan mengantuk. Aku nak tidur...jika tengah malam nanti aku berasa lapar, aku akan makan nasi itu. 

           Pukul 11 malam aku terjaga. Aku lihat hubby dah lena di katilnya. Perutku rasa lapar, aku nampak nasi ada di atas meja. Aku makan separuh daripada nasi itu. Kalau di rumah, aku tak pernah makan pun kalau dah lewat macam ni...Di sini aku tak kisah pun tentang diet yang aku amalkan. Sudah 2 hari aku tidak makan tengah hari. Semalam, malam pun aku tak makan. Semua itu kerana aku tidak balik ke hotel waktu makan tengah hari dan malam. Tidak mengapalah...itu semua pengorbanan ku yang sedikit untuk sampai ke Raudhah. Yang penting hajat ku untuk ke Raudhah terlaksana. Aku puas hati dan bersyukur teramat sangat kerana hajatku dimakbulkan oleh Allah. Terima kasih Allah...

            Demikianlah tamatnya episod Raudhah. Semoga ceritaku ini dapat memberi manfaat kepada pembaca semua. Aku akan sambung lagi kisahku di Kota Mekah pula selepas ini. Insya Allah.....


Tong-tong air zam zam
waktu solat di Masjid Nabawi
Aku dan kak Bib
              
My hubby
    
 

No comments:

Post a Comment