Pages

Total Pageviews

Monday 8 July 2013

LAMBAIAN KA'BAH

KEMBARA SUCI

UMRAH 1

             Asslamualaikum....

             Perjalanan kami ke Kota Mekah bermula. Pelbagai perasaan melanda hati...sayu, gembira, teruja bercampur menjadi satu...debaran untuk melakukan satu kewajiban kepada Allah SWT. Semakin jauh meninggalkan kota Madinah, semakin kuatlah debaran di hati. Kira-kira 10 km dari kota Madinah, kami berhenti untuk melakukan perkara wajib dalam umrah dan rukun umrah yang pertama iaitu berniat ihram/umrah (bermiqat). Jemaah dari Madinah yang akan melakukan umrah hendaklah bermiqat di sini (Bir Ali). Apabila bas melalui jalan ke masjid di Bir Ali, aku lihat di kiri kanan jalan dipenuhi oleh gerai-gerai yang menjual pelbagai barang terutama barang kelengkapan haji dan umrah. Semuanya ada di sini. Begitu juga di kawasan sekitar masjid. Telekung putih seperti yang dipakai oleh jemaah kita (Malaysia) juga turut dijual di sini. Ini bermakna jemaah Arab juga telah pandai memakai telekung putih selain warna hitam yang menjadi kebiasaan mereka. Mungkin telekung putih itu diimport dari negara Asia seperti Cina, Thailand, Indonesia dan Vietnam. 
Berposing dalam bas
             Sampai di masjid Bir Ali, Mutawif kami menunjukkan tempat berwuduk, ruang solat untuk jemaah wanita, dan lelaki. Kami diingatkan supaya berniat sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat ihram. Kepada jemaah wanita yang dalam keuzuran dan bimbang akan keuzuran boleh berniat secara taklik atau bersyarat. Wanita yang dalam haid atau jika kedatangan haid, akan menjadi halal dengan sendirinya tanpa perlu bertahlul.
             "Sahaja aku mengerjakan Umrah dan  Ihram aku dengannya dan sekiranya aku datang haid atau lain-lain sebab maka halallah aku dengannya."  
Masjid Bir Ali tempat bermiqat dari Madinah.
            Setelah selesai solat sunat ihram dan berniat, kami meneruskan perjalanan ke Kota Mekah. Bermula dari sinilah jemaah wajib menjaga pantang larang dalam ihram. Jika sengaja melanggar pantang larang yang telah ditetapkan, jemaah bukan sahaja berdosa, malah dikenakan dam. Dalam perjalanan, Ustaz Hamdan mengetuai bacaan talbiah. 


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ
 إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Aku memenuhi panggilan-Mu, ya Allah aku memenuhi panggilan-Mu. Aku memenuhi panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku memenuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya pujaan dan nikmat adalah milik-Mu, begitu juga kerajaan, tiada sekutu bagi-Mu”. 

(HR. Bukhari dengan Fathul Bari: 3/408, Muslim: 2/841)


Bacaan talbiah menjadikan kita semakin dekat denganNya...hati menjadi sayu dan terasa diri kita terlalu kecil di sisiNya. Air mataku jatuh lagi...."Ya Allah terimalah kehadiranku sebagai tetamuMu, terimalah segala amal ibadahku selama ini dan sepanjang menjadi tetamuMu. Jauhkanlah aku dari segala halangan. Sesungguhnya Engkau Maha pengasih lagi Maha penyayang...Aminnn..."

            Perjalanan masih panjang..ramai jemaah yang telah terlena. Seperti biasa, aku dengan GS4 ku...snap sana, snap sini sementara belum mengantuk. Aku perhatikan keadaan di kiri kanan lebuh raya sama sahaja, padang pasir dan bukit bukau yang kelihatan kering kontang tanpa sebarang tumbuhan hijau. Lebuh rayanya pula lurus dan rata tanpa selekoh-selekoh merbahaya dan  kesesakan. Mungkin keadaan ini berbeza dengan keadaan pada musim haji. 
Sepanjang lebuhraya ke Mekah
              Hampir 4 jam perjalanan, semua bas dan juga kenderaan lain berhenti di suatu tempat seperti R & R  untuk berehat dan menunaikan solat Maghrib. Hanya di sini sahaja tempat perhentian sepanjang jalan ke Mekah dari Madinah. Di kawasan ini terdapat kedai dan gerai-gerai menjual makanan dan minuman, madrasah dan juga tandas. Walaupun tempat ini sangat penting kepada para musafir, tapi keadaanya sangat berbeza dengan R & R di Tanah Air kita. Keadaan tandas dan tempat berwuduk seperti tidak terurus dengan baik. Air paip di dalam tandas keluar perlahan, bau yang kurang menyenangkan, lampu pun suram malah ada tandas yang tiada lampu. Bilangan tandas tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai. Keadaan Madrasah juga kurang selesa. Hamparannya berpasir seperti tiada pekerja yang menguruskannya. Jika dibuat perbandingan dengan R & R di tempat kita, rasanya memang keadaan di sini jauh ketinggalan.

R&R tempat jemaah berhenti rehat dan bersolat maghrib sebelum sampai ke Mekah.
       Terfikir juga olehku, kenapa tempat yang sepenting ini tidak dibangunkan dengan sempurna? Agaknyalah..mungkin ini satu cabaran kepada para jemaah supaya sentiasa bersabar dan menerima keadaan itu seadanya. Terfikir juga olehku...semasa Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah dahulu, keadaannya lebih teruk hingga tidak dapat dibayangkan betapa baginda menempuh segala halangan dan cabaran dengan penuh kesabaran. "Astarfirullah....siapalah aku jika dibandingkan dengan mereka pada zaman itu. Ya Allah, aku bersyukur atas segala nikmat yang Engkau berikan kepadaku.."
          
               Setelah selesai menunaikan solat maghrib, makan dan berehat, kami meneruskan perjalanan yang masih jauh lagi. Hari semakin gelap, tiada apa lagi yang boleh aku lihat untuk diabadikan dalam GS4 ku. Mata pun terasa mengantuk. Aku tidur agak lena juga, sehinggalah ustaz Hamdan membuat pengumuman yang kami telah hampir ke Kota Mekah. Sebaik sahaja membuka mata, aku lihat kawasan sekeliling diterangi dengan cahaya lampu. Ini bermakna kami telah memasuki Kota Mekah.Hati semakin berdebar...dalam pada itu, aku masih juga sempat mengambil gambar. Dari jauh aku telah nampak "Clock Tower" yang menjadi mercu tanda Kota Mekah dan Masjidil Haram khasnya. Ini bermakna kami telah hampir dengan Masjidil Haram. Ustaz Hamdan menunjukkan Masjid Jaranah salah satu sempadan Tanah Haram tempat jemaah di Kota Mekah bermiqat.

             Kami telah memasuki Tanah Haram, Masjidil Haram semakin hampir. Bas melalui jalan yang semakin sesak dengan kenderaan dan melalui kawasan pembinaan hotel-hotel baharu dan juga projek pembesaran Masjidil Haram. Aku terpegun melihat Masjidil Haram yang kini berada di hadapan mata. Sebelum ini aku hanya melihat melalui gambar-gambar dari internet dan buku-buku sahaja. Memang tidak terjangkau dalam fikiran yang aku kini telah berada di Tanah Suci sebagai tetamu Allah. "Syukur Alhamdulillah...peluang ini tidak akan aku sia-siakan Ya Allah..."


           Memasuki Kota Mekah
Sempdan Tanah Haram...Tanaim

Menara Jam kelihatan samar-samar dari jauh

Masjidil Haram dari jauh

             Hampir pukul 9.30 malam kami sampai di Hotel Mawaddah Barakah tempat penginapan kami sepanjang berada di sini. Hotel ini berada tidak jauh dari Masjidil Haram, dalam 300 meter sahaja. Alhamdulillah...kami bernasib baik. Hotel ini terletak berhadapan dengan bekas istana King Abd Aziz. Begitulah menurut kata ustaz Hamdan. Kami berkumpul di lobi hotel sementara menunggu kunci bilik diagihkan. Beg-beg kami diangkut masuk oleh para petugas. Sementara menunggu beg-beg kami dibawa masuk, kami naik ke dining hall untuk makan malam. Aku memang lapar kerana belum makan sejak petang tadi. Waktu singgah di R&R tadi pun aku tak makan hanya minum jus oren sahaja.

            Setelah selesai makan dan mendapat kunci bilik, kami masuk ke bilik masing-masing untuk berehat sebentar dan membersihkan diri. Ustaz Hamdan meminta kami berkumpul semula di lobi jam 11.30 malam untuk melakukan rukun Umrah yang seterusnya. Sampai di bilik, kami mengemas apa yang patut. Bilik kami kecil sahaja jika dibandingkan dengan bilik hotel di Madinah. Aku tak kisah, yang penting ada tempat untuk berehat. Ini pun dah cukup selesa bagiku. Alhamdulillah...

              "Cukup sampai di sini dahulu...saya akan meneruskan dengan kisah yang lebih menarik dan dapat menjadi panduan dan iktibar kepada pembaca. Pengalaman yang tak akan saya lupakan..."


No comments:

Post a Comment